Saturday 23 October 2010

Ahli Quran VS Hafiz Firdaus Abdullah

Berikut disenaraikan 20 hujah asas (Primary Argument) yang dikemukakan oleh Golongan Anti Hadis untuk menolak hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dari sisi syari’at Islam. Sekalipun kelihatan dalam laman-laman web mereka, terutamanya www.ropelist.com dan www.submission.org seolah-olah mereka memiliki banyak hujah dan alasan untuk menolak hadis, namun kesemua hujah-hujah tersebut hanyalah merupakan terbitan dari 20 kelompok hujah asas ini. Dengan terjawabnya atau lebih tepat tertolaknya 20 hujah asas ini maka tertolak juga puluhan hujah-hujah mereka yang lain.


Hujah Pertama:


Al-Qur’an adalah lengkap, terperinci lagi sempurna, maka kenapakah perlu dirujuk kepada hadis-hadis Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ? Bukankah Allah Subhanahu waTa’ala telah berfirman di dalam al-Qur’an:


Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran) ini. [al-An’aam 6 :38]


(Katakanlah) : Patutkah aku hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu ? [al-An’aam 6 :114]


Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman. [al-‘Araaf 7 :52]


Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya SATU-PERSATU. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. [Hud 11:01]


Jawapan:


Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala apabila Dia menyatakan kesempurnaan, kelengkapan dan perincian kitab suci-Nya al-Qur’anul Karim, adalah merujuk kepada peranan yang dimiliki oleh al-Qur’an sebagai “kitab induk” yang telah mengusulkan pelbagai kaedah dan cara bagi umat manusia menerima dan mempraktikkan risalah Allah dalam kehidupan harian mereka sehingga ke Hari Akhirat.[1] Al-Qur’an adalah lengkap dan sempurna dalam konteks ia meletakkan asas-asas mentauhidkan Allah dan kaedah-kaedah menjanakan syari’at-Nya. Demikian juga, apabila dikatakan bahawa kitab al-Qur’an tidak meninggalkan atau terlupa apa-apa, ia bererti bahawa al-Qur’an tidak leka atau lengah dari menggariskan pelbagai kaedah serta prinsip penukilan hukum dan ajaran yang diperlukan umat untuk melaksanakan syari’at Allah yang indah ini dalam semua suasana dan keadaan.


Dalam suasana kelengkapan dan keterperincian inilah al-Qur’an meletakkan dasar serta prinsip yang jitu bahawa hadis serta sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam wajib dijadikan salah satu dari sumber syari’at yang ditaati, dirujuki dan dipegangi. Apabila hadis dan sunnah Rasulullah disisihkan, maka ia bererti menyisih sebahagian dari dasar dan prinsip penting yang digariskan oleh al-Qur’an; dan apabila hadis dan sunnah Rasulullah ditentang, ia bererti menentang sebahagian dari ajaran al-Qur’an itu sendiri.[2]


Adalah merupakan tindakan yang amat jahil apabila seseorang itu memahami ayat-ayat di atas secara zahir (face value) sehingga mereka berkata segala apa yang berkaitan dengan agama dan kehidupan di dunia ini telah diperincikan satu-persatu di dalam al-Qur’an. Jika inilah kefahaman mereka, maka penulis bertanya – jika pagi tadi kita bersarapan Mee Goreng dan ingin mengetahui hukumnya, bolehkah kita mencarinya di dalam al-Qur’an ? Pastinya kita tidak akan menemui keterangan tentang Mee Goreng. Maka apakah dengan itu Mee Goreng tersebut menjadi sesuatu yang halal, atau haram, atau sesuatu yang dilupai oleh al-Qur’an ?


Sebaliknya jika difahami ayat-ayat di atas sebagai yang menerangkan peranan al-Qur’an dalam meletakkan dasar serta prinsip syari’at dan kehidupan, pasti kita akan ketahui bahawa Mee Goreng tersebut adalah halal dan baik untuk dimakan, kerana al-Qur’an sedia menggariskan beberapa prinsip asas pemakanan, antaranya semua yang ada di mukabumi ini adalah halal untuk dimakan (Yunus 10:59) asalkan disembelih atas nama Allah (al-An’aam 6:121) atau dari sembelihan Ahli Kitab (al-Maidah 5:05) dan ia bukan bangkai atau daging khinzir (al-Maidah 5:03); dan bahawa umat Islam sangat dianjur makan (al-An’aam 6:142) asalkan mereka tidak berlebih-lebihan (al-A’raaf 7:31).[3] Inilah maksud dan cara sebenar mengguna-pakai ayat-ayat di atas yang menjadi asas perbincangan.


[1] Yusuf Qardhawi – Penghantar Kajian Islam: Studi Analistik Komprehensif tentang Pilar-pilar Substansial, Karakteristik, Tujuan dan Sumber Acuan Islam, ms 382.
[2] Lihat Ibnu Qayyim – I’lam al-Muwaqi’in, jld 2, ms 417.
[3] Lihat Quraish Shihab – Wawasan al-Qur’an: Tafsir Maudhu’i atas Pelbagai Persoalan Umat, ms 137-154. Amat dianjurkan menelaah buku ini bagi mengetahui pelbagai prinsip yang telah digariskan oleh al-Qur’an dalam pelbagai persoalan umat seperti pemakanan, pakaian, kerja dan sebagainya.


Al-Quran adalah penuh terperinci tentang hukum Allah. Oleh itu, menjadikan dari sumber lain selain Kitabullah sebagai hukum Allah adalah perbuatan syirik.

Tidak salah jika merujuk riwayat hadis untuk beramal etc, bergantung kepada amalan apakah itu, samada bercanggah dengan konsep al-Quran atau tidak; yang salah adalah dengan menjadikan riwayat hadis selain Kitabullah itu sebagai hukum Allah, seterusnya membawa kepada perbuatan syirik.

Sebagai penganut Sunni, mungkin ada baiknya saudara Hafiz tunjukkan dalil dari riwayat hadis yang menghalalkan Mee Goreng. Bukankah riwayat hadis menerangkan al-Quran?

jika pagi tadi kita bersarapan Mee Goreng dan ingin mengetahui hukumnya, bolehkah kita mencarinya di dalam al-Qur’an ? Pastinya kita tidak akan menemui keterangan tentang Mee Goreng.


Dalil-dalil dari al-Quran yang disertakan dalam rujukan [3] saudara Hafiz itu menerangkan tentang Mee Goreng.

Saya pernah mencoret tentang Ibn Qayyim, sila rujuk; http://ariji86.blogspot.com/2010/06/ibn-al-qayyim-dan-judi.html

Wallahualam.

No comments: