Sunday 8 October 2017

Perakaunan

Perakaunan adalah antara perkara menarik yang berlaku dalam hidup saya. Ianya bermula ketika saya berada sekitar di Darjah 5 apabila saya membaca sebuah buku biru bertajuk "Rahsia Menjadi Usahawan Berjaya".

Saya mendapati usahawan adalah satu pekerjaan yang menarik kerana memberi elemen kebebasan dan kreativiti. Ya, saya mahu bebas seperti helang.

Apabila memasuki sekolah menengah. Saya mendapati perakaunan penting bagi keusahawanan. Tidak sukar untuk saya memasuki aliran perakaunan bagi sesi SPM memandangkan kriteria kemasukannya yang sederhana.

Setelah menduduki SPM, saya diterima ke Kolej Matrikulasi dalam aliran perakaunan. Ini yang saya mahu. Namun dalam masa yang sama saya mempunyai minat yang lain iaitu penggubahan muzik. Saya tidak mahu menjadi seorang akauntan. Dunia akauntan terlalu teknikal bagi saya.

Apa yang saya buat selepas itu adalah saya memohon jurusan muzik dengan menggunakan Sijil Perakaunan, dan saya diterima.

Dua faktor bagaimana saya diterima adalah pertamanya saya dilihat berpotensi oleh penemuduga. Faktor kedua adalah fakulti muzik ketika itu mengalami kekurangan permohonan kemasukan ke jurusan penggubahan muzik.

Dan apa yang berlaku ketika itu, hanya saya seorang saja pelajar baru bagi jurusan itu bagi sesi itu.

Baru-baru ini saya berbeza pandangan dengan rakan lama saya dalam grup wassap berkenaan perakaunan mengenai samada forex mempunyai penyata kewangan atau tidak.

Tidak lama kemudian saya diberitahu bahawa rakan saya itu berkelulusan CPA, iaitu Akauntan Awam Diiktiraf.

Tidak hairanlah jika saya dilihat seperti si newbie dalam perbahasan itu, kerana saya tiada kelulusan sedemikian, mahu pula berbahas dengan seorang akauntan berpengalaman?

Apabila saya tahu bahawa rakan lama saya itu seorang akauntan berpengalaman, maka saya memahami mengapa kami berbeza pandangan.

Ini kerana perakaunan yang rasmi, menggunakan bahasa rasmi, seperti berbeza antara loghat pembaca berita dengan loghat orang awam.

Kepada rakan saya yang lain yang menyampuk, menganggap saya memperbodohkan, macam mana anda tahu saya begitu? Ini adalah gejala bias, dek kerana saya tiada kelulusan CPA seperti rakan lama saya itu.

Di sini saya akan menerangkan kenapa perakaunan mempunyai lebih dari satu loghat.

Jika anda membuka satu perusahaan kecil, ia melibatkan perakaunan, mungkin seringkas buku tunai. Anda tiada kelulusan rasmi, apapun, anda perlu melakukan perakaunan.

Kemudian bisnes anda mula berkembang dan anda mampu mengupah kerani perakaunan. Anda tidak menyambung pengajian CPA kerana mungkin anda tidak cukup minat, ataupun anda sibuk dengan tugas-tugas lain dalam bisnes.

Kemudian bisnes anda berkembang lagi dan kali ini, anda mampu menggajikan seorang akauntan profesional berkelulusan CPA.

Sekali lagi, anda tidak perlu menyambung pengajian CPA kerana anda boleh menggajikan orang lain. Suka duka anda selama ini membina bisnes dari awal sehingga sekarang, anda bergelumang dalam perakaunan. Namun anda bukan akauntan profesional.

Terutama ketika bisnes anda masih kecil, anda bodoh dengan bahasa rasmi perakaunan. Ketika itu tercipta loghat perakaunan yang lain.

Kini bisnes anda besar dan anda berjaya, anda masih menggunakan loghat perakaunan tidak rasmi kecuali ketika berinteraksi dengan akauntan atau urusan rasmi. Bagi anda, CPA adalah untuk dua perkara, iaitu perekodan rasmi dan percukaian.

Begitulah terhasilnya loghat perakaunan yang lain dari loghat yang rasmi. Ia adalah logikal apabila dua loghat berbeza berselisih pandangan. Tiada soal memperbodohkan dalam kes ini.

Saya gembira kerana kami berbahas secara sihat, tetapi ia mengundang salah faham dari audience.

Wallahualam.