Monday 27 November 2023

Agama Bhg. XI

"Agama apakah yang benar?"

Jika anda menjawab "Islam", maka versi Islam yang mana? Salafi? Ashari? Shafie? Hanbali?

Kesilapan manusia adalah mereka cuba "menentukan" kebenaran. Golongan ateis mahukan tuhan yang anti kesengsaraan. Oleh kerana di muka bumi ini banyak kesengsaraan, maka mereka menafikan tuhan versi itu.

Dalam erti kata lain, golongan ateis mahu tentukan tuhan yang macam mana.

Ahli-ahli sunnah pula mahu menentukan versi Rasulullah masing-masing. Penganut Salafi dan Ashari, mempunyai versi Rasul yang berbeza. Sebab itu mereka bergaduh sesama sendiri setiap hari.

Adakah anda yang menentukan kebenaran bahawa 1+2=3?

Bayangkan puak masing-masing mahu menentukan kebenaran matematik. Satu puak mengatakan 1+2=5, satu puak lagi mengatakan 1+2=7.

Mereka adalah golongan yang menzalimi diri sendiri. Sepatutnya  persoalan1+2=? ditentukan oleh kebenaran.

Golongan pendakwah pula mahu menentukan hidayah orang lain. Bahkan mereka cuba menyusahkan autoriti kepolisan yang sedia sibuk dengan jenayah-jenayah besar, dengan akta-akta "memaksa hidayah".

Akhirnya pembasmian jenayah besar terganggu. Bilangan penguatkuasa yang terhad, diterhadkan lagi oleh golongan pendakwah ini.

Golongan pendakwah ini yang sepatutnya turun padang. Adakah dialog terbuka dengan rakyat.

Tapi sebaliknya pendakwah ini seakan selesa berselindung di sebalik dewan-dewan kuliah institusi pengajian dan mahu pegawai-pegawai polis menangkap mereka yang derhaka dengan dakwahnya.

Wallahualam.