Wednesday 28 December 2022

Hadis Bhg. X

Apabila orang lain menolak hadis, golongan "Wahabi" melabel mereka sebagai golongan anti hadis. Namun apabila golongan "Wahabi" menolak hadis, mereka mendabik dada sebagai penentang amalan menglipur lara hadis.

Dan apabila orang lain menerima hadis pula, golongan "Wahabi" melabel mereka sebagai penglipur lara hadis. Namun apabila golongan "Wahabi" menerima hadis, mereka mendabik dada sebagai pengikut Nabi.

Maka golongan Wahabi ini begitu dibenci oleh penganut Asyairah.

"Akidah selain Asyairah semuanya kelaut".

Namun saya telah menegur pendakwah Asyariah itu sebagai sembang kerana beliau tidak "bertentang mata" dengan golongan "Wahabi".

Samada perjuangan dan kepercayaan anda benar atau salah, namun jika anda sekadar mendabik dada di "alam maya", maka itu adalah sembang.

Maka dengan ini saya memuji kedua-dua pihak "Wahabi" dan Asyariah yang sudi untuk turun padang, "bertentang mata" dan berdialog secara matang.

Sekian lama saya menjadi aktivis "pengkritik Sunnah", insyaAllah anda mendapati saya seorang pengkritik yang adil.

Bahkan itu adalah faktor kenapa saya masih belum dibunuh atas tuduhan murtad, atau ditangkap oleh pegawai agama, kerana kritikan saya berasaskan hujah dan fakta.

Wallahualam.

Wednesday 30 November 2022

Agama Bhg. VII

"Hidayah di tangan Allah" bermaksud jika anda memiliki seribu sijil agama pun ia tidak menjamin anda mendapat hidayah. Jika anda seorang pro hadis, riwayat hadis mengisahkan tentang golongan yang dikenali sebagai "ulama jahat".

Jika anda menyedari perkara ini, bahawa betapa faqirnya kita terhadap hidayah dari Allah. Bayangkan anda menghabiskan masa puluhan tahun belajar agama dan masih tidak mendapat hidayah. Anda disebut dalam riwayat hadis sebagai "ulama jahat".

Ini adalah hujah bahawa sistem institusi agama itu sendiri tidak menjamin kesejahteraan. Di Malaysia, kita mempunyai ribuan masjid namun banyak juga kes jenayah. Pemimpin-pemimpin agama pula saling bermusuhan sesama sendiri.

Macai-macai politikal agama pula mengambil jalan mudah dengan menjadi penumpang kenderaan. Kenderaan itu dipandu oleh pemimpin mereka kononnya menuju ke Syurga.

Mereka tidak perlu belajar memandu kerana mereka begitu yakin bahawa pemimpin mereka begitu berkaliber.

Apabila anda sekadar menjadi penumpang, anda "terpaksa" menerima sahaja ke mana sang pemandu membawa anda.

Coretan ini memberi gambaran kehebatan Sang Iblis. Jika mereka yang berstatus ulama pun tidak mendapat hidayah, bagaimana dengan anda yang bukan ulama?

Wallahualam.

Monday 31 October 2022

Agama Bhg. VI

Anda dari keluarga yang susah lalu anda mengejar duniawi. Puluhan tahun kemudian anda masih hidup susah lalu mati dan masuk Neraka.

Golongan yang kaya pula sekurang-kurangnya mereka berbahagia di dunia. Mereka berjaya di dunia walaupun gagal di Akhirat.

Manakala anda yang hidup susah di dunia dan lagi susah di Akhirat.

Jika anda sedar berkenaan perkara ini, maka anda lihat kepentingan anda membuat persediaan Akhirat.

"Adakah aku terlalu bodoh? Sudahlah aku hidup susah di dunia, bahkan nanti aku hidup susah di Akhirat pula?".

Saya pernah menemuramah seorang aties. Beliau memberitahu saya beliau menjadi ateis supaya beliau boleh fokus kepada duniawi. Beliau mendakwa beliau datang dari keluarga yang susah.

Jika beliau hidup beragama, katanya, agama boleh mengganggu matlamat duniawi beliau. Beliau mahu keluar dari kepompong kemiskinan.

Saya bersetuju dengan beliau bahawa banyak ajaran agama yang songsang. Malangnya ramai pemimpin agama memilih untuk menjadi egois dari bermuhasabah diri.

Keegoan pemimpin agama ini membawa kepada imej agama sebagai ajaran songsang lalu polemik ini antara punca melahirkan golongan ateis.

Pemimpin agama tidak dapat menerima kenyataan bahawa ajarannya songsang lalu pemimpin agama menyalahkan pemikiran liberal.

Boleh jadi ramai agamawan yang memilih parti liberal atau sekular kerana muak dengan keegoan pemimpin-pemimpin agama.

"Agama aku tak seteruk itu".

Wallahualam.

Friday 30 September 2022

Allah Bhg. II

Allah tidak mencintai pelampau-pelampau-batas (2/190, 5/87, 7/55), kerosakan (2/205), tiap kekufuran-berdosa (2/276), pengkufur-pengkufur (3/32, 30/45), penzalim-penzalim (3/57, 3/140, 42/40), siapa jadi bangga-cakap-besar (4/36), siapa pengkhianatan-berdosa (4/107, 22/38). kezahiran dengan dosa dari perkataan kecuali siapa dizalimi (4/148), perosak-perosak (5/64, 28/77), pembazir-pembazir (6/141, 7/31), pengkhianat-pengkhianat (8/58), pentakbur-pentakbur (16/23), hedonis-hedonis-takbur (28/76), dan tiap bangga-cakap-besar (31/18, 57/23).

Allah mencintai pelaku-pelaku-kebaikan (2/195, 3/134, 3/148, 5/13, 5/93), pentaubat-pentaubat, pembersih-pembersih (2/222, 9/108), pentaqwa-pentaqwa (3/76, 9/4, 9/7), penyabar-penyabar (3/146), pentawakkal-pentawakkal (3/159), pengsaksama-pengsaksama (5/42, 49/9, 60/8), dan entiti-entiti berperang di jalanNya pembarisan (61/4).

Wallahualam.

Sunday 28 August 2022

Hadis Bhg. IX

Apabila anda mengecam amalan menglipur lara hadis, anda adalah anti hadis. Namun oleh kerana anda adalah ahli Sunnah, maka anda tidak digelar sebagai golongan anti hadis. Sebaliknya anda digelar sebagai Wahabi.

Jika anda mengatakan Rashad Khalifa ada kesilapan, saya setuju. Jika anda mengatakan Kassim Ahmad ada kesilapan, saya juga setuju. Namun oleh kerana anda melihat mereka dari lensa akidah, maka anda berasa anda lebih suci.

Padahal anda bergelumang dengan amalan riba, menghisap rokok, malah boleh jadi anda dari parti Melayu yang menolak Hudud. Namun kerana anda berakidah ahli Sunnah, anda berasa anda lebih suci.

Seperti biasa yang mengganas adalah ahli Sunnah, apabila Rashad Khalifa dibunuh ketika beliau sembahyang. Ironinya apabila orang mengata Islam agama yang ganas, anda marah pula.

Nouman Ali Khan membuktikan bahawa ahli Sunnah juga mampu untuk rajin tadabbur al-Quran. Walaupun saya tidak menonton penuh ceramah-ceramah agama dari Perkampungan Sunnah baru-baru ini, tapi boleh dikatakan tiada yang kedengaran gah setaraf dengan Nouman.

Bahkan jika anda menggabungkan sepuluh ustaz Sunnah di Malaysia, belum tentu dapat menandingi Nouman.

Nouman datang ke Malaysia mengangkat mesej perjuangan Sunnah. Namun masalahnya beliau tidak melihat dari lensa realiti. Sebaliknya beliau melihat dari lensa utopia seolah-olah jemaah Sunnah memiliki kitab Sahih Nabi.

Realitinya ahli Sunnah tidak memiliki kitab Sahih Nabi, sebaliknya mereka memiliki kitab Sahih Bukhari. Mereka berlagak lebih sudu dari kuah. 

Melihat sejarah awal saya digelar sebagai anti hadis, ketika itu saya adalah kaki masjid di sebuah kolej. Bahkan saya seorang sukarelawan sebagai bilal. Suara saya seringkali berkumandang terutama bagi waktu Zohor dan Asar.

Bahkan saya juga penuntut kelas feqah Shafie dengan imam masjid berkenaan ketika itu. Maka dari mana datangnya gelaran anti hadis itu?

Ia datang kerana saya menolak hukuman rejam sampai mati bagi kesalahan zina. Ironinya pemimpin-pemimpin Sunnah mengakui jua bahawa hukuman itu tidak ijmak sebagai Hudud.

Wallahualam.

Sunday 31 July 2022

Agama Bhg. V

Saya memahami kenapa pihak polis pro kepada Akta ISA mahupun SOSMA. Ini kerana mereka adalah barisan hadapan. Apabila berlakunya keganasan, termasuk keganasan agama, maka mereka yang dijangka merisiko nyawa mereka.

Pihak askar juga tidak terkecuali. Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 adalah dicetuskan oleh Tentera Sulu yang berakidah Ahli Sunnah. Ini adalah bukti bahawa akidah agama tidak menjamin penganutnya kekal stabil dalam pertimbangan membalas dendam.

Ironinya, Malaysia negara yang menjulang akidah Ahli Sunnah, namun golongan Ahli Sunnah jua yang sering membuat ancaman. Ini dinamakan sebagai perang saudara.

Bahkan boleh dikatakan hampir setiap hari pemimpin-pemimpin Sunnah bergaduh sesama sendiri diperingkat institusi.

Apa masalahnya dengan kepimpinan agama di negara kita? Ya, bermasalah. Sehinggakan Sultan Selangor terpaksa masuk campur untuk membenarkan upacara Bon Odori.

"Masalah"nya adalah hidayah di tangan Allah, bukan di tangan dekan-dekan institusi pengajian yang melahirkan pemegang-pemegang sijil agama cari makan.

Adakah mereka menyangka ilmu Islam itu setaraf dengan bidang-bidang duniawi? Adakah markah peperiksaan mengambil kira perkara ghaib seperti keikhlasan, pahala dan dosa?

"Demi agama, bangsa dan negara".

Agama versi mana? Versi Perlis atau versi Johor?

Tanda awal pencetusan keganasan agama adalah pada fatwa "membunuh" atau fatwa "halal darah".

Dalam erti kata lain, keganasan bukan dicetuskan kerana upacara memuja kubur per se, tetapi ia datang dari fatwa hukuman bunuh bagi amalan memuja kubur.

Para agamawan dijangka terus berbeza pandangan sesama sendiri, namun keganasan secara asasnya tidak tercetus tanpa fatwa mengganas.

Ironinya, pejuang-pejuang Sunnah di Malaysia tidak berhijrah ke Afghanistan demi melaksanakan hukuman Hudud mahupun Qisas. Bukankah Afghanistan itu Syurga Syariah mereka?

Sebaliknya mereka menetap di negara-negara pluralistik yang membudayakan sekularisma dan liberalisma seperti Malaysia. Mereka makan gaji dari sumber perlembagaan kafir. Adakah mereka jujur dalam beragama?

Wallahualam.

Wednesday 29 June 2022

Manusia Bhg. II

Manusia adalah bersifat merosakkan diri sendiri. Dan kerosakan ini boleh merebak kepada kawannya.

Berkawan dan bergaul adalah dua aktiviti yang berbeza. Anda tidak perlu berkawan dengan orang yang tidak dikenali untuk membantunya atau bersedekah. Berkawan pula seumpama mandi kolam bersama dimana anda berkongsi peluh bersama dalam takungan air.

Jika peluh kawan anda itu beracun, maka racun itu merebak kepada anda. Sebab itu anda melarang anak anda dari berkawan dengan mat rempit.

Apabila anda berkawan dengan perokok, anda akan menghidu asap rokok dan anda dikenali sebagai perokok secondhand.

Ini contoh bagaimana kawan anda yang merosakkan dirinya sendiri, akhirnya merosakkan diri anda. Manusia yang berjaya di dunia berdasarkan sikap tamak pula bukan saja merosakkan diri bahkan akhirnya merosakkan muka bumi. Kerosakan alam sekitar yang melampau, ataupun masalah kebuluran yang dibiarkan, kerakusan kuasa membawa kepada peperangan bersenjata dan sebagainya.

Agamawan pula tenggelam dalam kerumitan hal ehwal agama sehingga perkara feqah menjadi terlalu ketat akhirnya merosakkan jemaahnya sendiri. Agamawan ini pula melihat kelemahan golongan liberal merosakkan diri sehingga lupa dirinya jua lemah merosakkan diri.

Dalam sirah Nabi versi Sunni sendiri mengisahkan baginda menjadi Mutazilah dengan melakukan amalan bertapa di gua Hira'. Ini antara contoh amalan bagi mengelakkan diri dari berkawan dengan golongan perosak.

Dalam erti kata lain, menjadi Mutazilah adalah sunnah baginda sebelum baginda menjadi Nabi.

Seperti biasa, penceramah Sunni akan fokus pada najis Mutazilah kerana dendam tradisi supaya para pendengar buta dengan kebaikan Mutazilah.

Wallahualam.

Sunday 29 May 2022

Agama Bhg. IV

Walaupun saya seorang jihadis, namun saya belum lagi berperang secara bertumbuk apatahlagi mengangkat senjata. Yang ada adalah perang mulut dan perang tulisan.

Namun fokus coretan ini adalah peperangan sesama pihak lain. Jika anda lihat golongan kongsi gelap bagaimana mereka berperang sesama mereka.

Peperangan antara Sunni dan Syiah bukan suatu yang misteri. Berapa banyak masjid yang telah dibom.

Peperangan sesama Sunni yang terkenal pula adalah antara penganut "Wahabi" dan Empayar Usmaniyyah. 

Peperangan Sunni dengan non-muslim pula kini sering terjadi di Selatan Thai.

Walaupun pendakwah-pendakwah Sunni berterusan menipu umat Islam dengan memperlihatkan bahawa para sahabat itu sangat "islamik" sehinggakan kita diajak mengikut para sahabat, namun tulisan sejarah menceritakan sebaliknya.

Sudah tentu masing-masing dengan pandangan masing-masing apa itu Islam.

"Muslim adalah saudara sesama muslim" (Riwayat Bukhari).

Sejarah peperangan saudara di zaman sahabat dan peperangan sesama sahabat tidak menggambarkan keindahan feqah mahupun akidah Islami yang dicanang itu. Golongan yang berlepas diri dari politik kotor ketika itu pula dianggap sebagai sesat dan digelar sebagai Mutazilah.

Penganut-penganut Sunni berterusan bergaduh sesama sendiri sehingga kini. Tragedi Memali, Sejarah konflik PAS-UMNO dimana zaman saya membesar di Kelantan, Al-Maunah, konflik "Wahabi"-Asyairah, pencerobohan Lahad Datu 2013 dan sebagainya.

Keganasan penganut Sunni juga boleh dilihat pada parut kanak-kanak kesan dirotan akibat meninggalkan sembahyang, dan juga kanak-kanak dipaksa untuk berkhatan. Namun apabila Sajat mengubah ciptaan, penganut-penganut Sunni berasa mereka lebih suci.

Wallahualam.

Friday 8 April 2022

Hadis Bhg. VIII

Anda menolak hadis lalu dimarahi;

"Awak sesat golongan anti hadis".

Lalu anda mengikut hadis dan dimarahi;

"Kita kena ikut hadis melalui ulama".

Lalu anda mendengar muzik dan dimarahi;

"Ulama mengharamkan muzik".

Lalu anda kembali mengikut hadis dan dimarahi;

"Awak sesat penglipur lara hadis".

Lalu anda kembali mengikut ulama ke kiri walau Nabi ke kanan dan dimarahi;

"Kita kena ikut Nabi".

Lalu anda ikut Nabi kencing berdiri dan dimarahi;

"Awak Wahabi".

Lalu anda kembali kepada al-Quran dan dimarahi;

"Awak sesat tanpa Sunnah Nabi".

Lalu anda mengikut jabatan agama dan dimarahi;

"Awak sesat ikut jabatan agama yang menerima pandangan Syiah".

Lalu anda menukar kepada jabatan agama lain dan dimarahi;

"Awak sesat ikut jabatan agama Wahabi".

Anda telah gagal untuk memuaskan hati semua orang.

Wallahualam.

Sunday 27 February 2022

Agama Bhg. III

Masalah agama adalah masalah kepimpinan. Dan ramai pemimpin agama yang lari dari muzakarah.

Bagaimana dengan pengikut mereka melihat Tok Guru mereka kecut perut? Masih taksub?

Zakir Naik adalah antara pemimpin agama yang kelihatan tidak lari malah menjemput. Oleh kerana pendekatan beliau sedemikian saya secara peribadi pernah cuba bersoaljawab dengan beliau.

Setelah hampir tiba giliran saya yang beratur panjang, namun kerana kekangan masa, tiba-tiba golongan muslim dikeluarkan dari barisan penanya soalan ketika itu. Ini kerana fokus beliau adalah untuk berdakwah terhadap non muslim.

Walaupun saya pernah dituduh kafir, murtad, sesat dan sebagainya oleh agamawan, saya masih mengaku muslim.

Namun poin coretan ini adalah bagaimana pemimpin agama lari dari muzakarah.

Antara sebabnya adalah kurang persediaan dari segi penyelidikan topik berkenaan. Bukan semua orang seperti Iqbal yang sanggup menyanyi di depan orang ramai dan mendapat kritikan padu.

Sudah tentu pembuatan keputusan untuk lari ini dihormati namun ia boleh menjadi signal sejauh mana kealiman seseorang.

Itu adalah poinnya. Seorang pemimpin agama sepatutnya alim kerana ke mana beliau mahu membawa pengikutnya? Ke Neraka?

Wallahualam.






Monday 31 January 2022

Syurga Bhg. II

Kesilapan sebahagian umat Islam adalah cuba memperbodohkan Allah. Ibadat yang tidak ikhlas dan menipu keimanan diri, bahkan mereka cuba memasuki Syurga melalui "pintu belakang".

Faktanya "pintu belakang" itu tidak wujud, ianya helah dari Iblis memperdayakan manusia. Namun lihat bagaimana tidak beradabnya mereka.

Orang Islam yang bermaruah berikhtiar memasuki Syurga melalui pintu depan sebagai tetamu rasmi.

Maka siapa berat timbangannya maka itu mereka peroleh kejayaan (23:102).

Mereka yang hanya berikan komitmen 51% amalan soleh pula sebenarnya berisiko. Jika anda target 51% sahaja belum tentu target anda mengena. Bagaimana jika anda kekurangan 2%?

Maka kekurangan 2% itu menyebabkan anda menggelincir ke Neraka.

Namun jika anda mengejar Syurga sekalipun, ianya adalah makhluk. Mengejar makhluk adalah seumpama mengejar duniawi jua.

Itu yang membezakan pengejar Syurga pintu depan dan belakang. "Pengejar" Syurga pintu depan adalah jihadis yang menjadi hamba Allah dengan erti kata sebenar yakni tanpa syarat ganjaran. 

Ini kerana jika anda meletakkan syarat ganjaran anda bukan hamba. 

Manakala pengejar Syurga pintu belakang pula mengikut hawa nafsu.

Wallahualam.