Sunday 31 May 2020

Niat

Imam mengajar kita bahawa kita hendaklah beribadat kerana Allah. Menjadi tradisi untuk membaca niat ini sebelum kita beribadat.

Menjadi kebiasaan umat untuk mempunyai lebih sebab dalam beribadat, seperti kerana pahala atau Syurga, atau kerana disuruh orang lain, atau juga kerana budaya masyarakat.

Anda lulus niat kerana Allah jika Allah dijadikan prioriti nombor satu sebab anda beribadat. Namun realitinya lebih indah khabar dari rupa.

Realitinya bab niat dipandang rendah oleh umat sendiri. Ia kelihatan boleh diabaikan kerana secara asasnya orang lain tidak nampak apa niat di qalbu anda, maka anda masih boleh menjadi umat pujaan ramai.

Walaupun umat membaca niat kerana Allah, kelihatan niat lain lebih prioriti seperti pahala atau Syurga. Jika anda gagal bab niat, bagaimana dengan kualiti ibadat anda?

Rakan saya mengatakan dia menyokong hudud kerana mahu membanteras jenayah. Niat ini diletakkan lebih tinggi dari niat kerana Allah. Jika bab niat pun gagal, anda jangkakan hudud anda itu mendapat keredhaan Allah? Kemudian anda berasa anda lebih alim dari penentang hudud?

Adakah tangan suspek pencuri yang dipotong boleh disambung semula akibat kesilapan hudud anda? Siapa golongan zalim dalam bab ini?

Jika dalam bab sembahyang anda tidak mendatangkan bencana kepada orang lain, ini berbeza dengan bab hudud Sunni yang boleh melibatkan ramai calon mangsa.

Dalam erti kata lain, golongan pentaksub bukan penyelesaian yang tuntas sebagai eksekutif agama. Jika anda terpedaya dengan kulit buku yang cantik, adakah ia menjamin isi buku yang berkualiti?

Wallahualam.