Saturday 31 August 2019

Rasulullah

Rasulullah merupakan individu yang paling berpengaruh bagi umat Islam. Namun, secara takdirnya peminat Rasulullah tidak dijamin berada di laluan yang lurus.

Peminat Isa pada hari ini dikenali sebagai Kristian secara asasnya berkisar kepada menanti janji syafaat. Dalam erti kata lain Allah bukan matlamat utama mereka, tetapi harapan Syurga di akhirat nanti.

Jika anda melihat kalimah "Rasulullah", ia daripada dua perkataan yakni "Rasul" dan "Allah". Anda dapat melihat betapa kolerasinya antara "Rasul" dan "Allah".

Namun di sini saya ingin membawa anda kepada persoalan sejauh mana kita mengenali Rasulullah.

Dari saya kecil hingga kini, Rasulullah secara amnya merupakan subjek utama dari mulut golongan ustaz yang mengajar. Dari amalan membasuh berak, hingga kepada amalan melangkah ke masjid. Namun persoalannya sejauh mana mereka mengenali Rasulullah?

Apabila disiasat, secara asasnya mereka mengenali Rasulullah melalui hadis bersanad. Hujah ini ada asasnya tetapi unsur taqlid mereka begitu tebal.

Taqlid yang tebal secara mudah difahami bermaksud ilmunya kurang. Itu tujuannya kaedah taqlid digunakan. Bertaqlid secara asasnya bertujuan untuk mengikut sesuatu kepercayaan tanpa ilmu yang tinggi.

Jika anda kurang faham apa itu taqlid, saya kiaskan dengan zaman di universiti. Sebahagian pelajar menyiapkan tugasan yang diberi pensyarah dengan meniru tugasan yang pernah disiapkan oleh senior mereka suatu ketika dahulu.

Apabila ini berlaku, pelajar itu secara asasnya tidak mahir berkenaan ilmiah tugasan itu kerana proses pembelajaran dibantut oleh peniruan atau dikenali sebagai "copy and paste".

Ini bermakna ramai yang bercakap berkenaan Rasulullah tapi ia tidak menjamin kepakaran mereka dalam mengenali Rasulullah.

Namun ini bukan masalah yang lebih besar. Masalah yang lebih besar adalah pengharaman buku-buku ilmiah dimana kerajaan melayan golongan dewasa seperti kanak-kanak.

Layanan sebegini secara asasnya memberi impak negatif kerana membantut kepelbagaian pandangan.

Pembangkang kepada layanan ini dikenali sebagai gerakan kebebasan akademik. Sudah tentu kerajaan adalah campuran dari pelbagai ideologi para pemimpin yang bercampur gaul, dan demokrasi adalah tentang populariti dan majoriti.

Sejauh mana kita mengenali Rasulullah?

Wallahualam.