Saturday 23 July 2016

Takrif

"Rumah anda bukan aset"

Penyataan ini dikatakan faktor ejen hartanah berhenti menghantar kad krismas kepada Robert Kiyosaki suatu ketika dahulu. Kalimah yang sama, takrif yang berbeza. Ini biasa terjadi dalam amalan manusia.

Dalam konteks agama, kalimah seperti jihad, Islam, sunnah, hadis antara kalimah yang begitu tebal khilafnya antara manusia.

Jika anda sekadar melihat satu kalimah hanya dari satu perspektif, anda boleh terkebelakang dalam feqah. Pendekatan sebegini yang menjadikan seseorang menyertai ISIS dalam berjihad.

Jika kalimah "Islam" dimanipulasikan oleh ISIS, perkara yang similar boleh berlaku kepada kalimah "Sunnah".

Mereka menyangka saya murtad kerana mengkritik isu sunnah. Kalimah "sunnah" itu sendiri mampu dimanipulasikan oleh agamawan. Tanpa pembelaan terhadap Rasulullah dalam kes sebegini umpama membiarkan baginda difitnah.

Ini adalah isu pendidikan. Dalam industri pendidikan kita bertemu dengan insan yang mempertahankan ego, menyembunyikan kebenaran, pandangan berat sebelah dan sebagainya.

1) Akhlak dan Sunnah

Semakin tinggi ilmu anda tentang akhlak Rasulullah, semakin anda mengenali bagaimana kalimah "sunnah" dimanipulasi.

Saya mengambil contoh kes berpoligami. Rata-rata lelaki yang berpoligami di negara ini bukan ikhlas kerana Allah atau ikhlas ingin mengikut Rasulullah tetapi kerana seks atau belaian wanita. Alasan sunnah itu adalah bagi mendapat restu dari masyarakat.

Bagaimana pula apabila ia dikatakan sebagai "Sunnah Rasulullah". Sejauh mana Rasulullah mahu difitnah?

Adalah lebih bijak jika anda menyedari tentang bagaimana kalimah "sunnah" ditakrifkan. Bukan dengan semborono menghakimi saya sebagai anti Rasulullah.

Wallahualam.