Wednesday 30 December 2020

Orang Tua

Apa terjadi apabila orang tua mahu melintas jalan, lalu mereka memimpin anda yang muda? Mungkin lebih baik jika anda yang memimpin mereka.

Antara faktor kenapa yang lebih tua sebagai pemimpin adalah, sebagai contoh memimpin bayi. Tanpa pimpinan orang yang lebih tua, bagaimana bayi mampu mendapatkan susu atau membasuh najis.

Namun perkara ini berubah apabila bayi membesar mencapai peringkat aqil baligh, sehingga apabila anda menjadi si tua yang mahu melintas jalan, maka mungkin ada masanya pula si lebih muda memimpin anda.

Oleh itu jika umur anda lebih tua, anda jangan terlalu takbur atau terlalu ego dan jika anda si lebih muda, jangan pula terlalu hormat atau terlalu taat.

Terimalah kenyataan jika si muda lebih bijak dari anda. Sebenarnya anda boleh belajar dari si muda sehingga anda menjadi sama atau lebih bijak, insyaallah. Jangan melihat kebijaksanaan sebagai ancaman, tapi lihatlah kebijaksanaan sebagai rahmat.

Wallahualam.

Saturday 31 October 2020

Demokrasi

Demokrasi bukan sistem yang sempurna, tetapi ia lebih baik dari sistem monarki mutlak. Kelemahan sistem monarki mutlak adalah sentimen anak-beranak yang terlalu tebal.

Sudah tentu saya bersetuju bahawa anak-beranak mempunyai kelebihan unik, namun jika anda terlalu melebihkan anak-beranak, ia boleh membawa bencana, walaupun anak kandung anda sendiri. Pernah dengar kisah "Anakku Sazali?"

Kelemahan sistem demokrasi pula apabila kebodohan menjadi majoriti. Ini bermakna rakyat yang bijak terpaksa berpaksi dengan kebodohan demi menegakkan tiang negara.

Sistem "monarki demokratik" di Malaysia kelihatan inovasi yang lebih baru, seolah-olah memperakui kelemahan sistem monarki mutlak.

Lihat apa yang terjadi di Thailand hari ini akibat pendiktatoran askar, rakyat lantang mahu membuang Raja.

Nilai demokratik kelihatan mempunyai kesan mengekalkan pemerintahan Raja.

Sistem khalifah Sunni seperti Hizbut Tahrir pula berlagak sistem mereka lebih baik, yang mana bersifat "angan-angan Mat Jenin".

Jika anda mempunyai harta yang lebih, anda boleh bersedekah tanpa menjadi "khalifah" terlebih dahulu. Maka dimana kepentingan "khalifah"?

Mereka seperti penjual ubat yang tiada bukti saintifik.

Namun antara perkara yang dibimbangi penguatkuasa boleh jadi kerana potensi mereka untuk bertukar menjadi "al-Qaeda".

Sejarah menunjukkan bahawa khalifah sendiri menghentikan sistem khalifah, atau khalifah melakukan perkara yang menjatuhkan sistem khalifah itu sendiri. Kemudian, kita perlu menubuhkan "Hizbut Tahrir" yang baru pula?

Kemudian anda mungkin mahu bertanya kepada penulis coretan ini maka sistem apa yang terbaik?

Wallahualam.

Wednesday 30 September 2020

Kau Sahabat

Tajuk: Kau Sahabat
Pencipta: Ariji

perkenalan kita
kau temukan aku
sampai bila
kan kita bersama

pertemuan kita
jodoh kau dan aku
sampai masa
kan berpisah jua

dengarkanlah nyanyian ku dendang untuk kamu semua oh teman
inilah lagu kasih-sayang antara kita 

kenangan indah kita suka dan duka bersamamu kawanku
insyaallah sampai mati akan ku ingat sampai mati, sahabat

(eng)kau sahabat yang slalu ku rindu
semoga engkau bahagia

kau sahabat yang ku sayang sayang 
semoga engkau senang di sana

engkau sahabatku penemanku

Monday 31 August 2020

Ikhlas

 Dan entiti yang ikhlas deen mereka kepada Allah maka itulah bersama golongan mukmin (4/146).

Dengan pengalaman saya bertahun dalam penyelidikan agama Islam, hari ini saya boleh nyatakan keikhlasan adalah antara elemen awal yang perlu diperhalusi.

Hari ini, ramai agamawan yang tidak ikhlas kepada Allah. Mereka mungkin pada awalnya ikhlas, kemudian nafsu mereka berarah kepada Syurga. Kemudian memikirkan masa depan, mereka menyambung pengajian agama untuk mencari makan.

Di institusi pengajian pula, minda mereka dijajah pula dengan gred peperiksaan. Mereka berasa pandai kerana mendapat gred A. Adakah dunia di luar sana umpama dewan peperiksaan?

Apabila berada di dunia luar, mereka berasa seperti pemimpin agama gred A. Bukankah keputusan peperiksaan telah membuktikan kebenaran?

Memandangkan persoalan agama melibatkan topik perkara-perkara ghaib, maka lebih mudah mereka menjadi scammer mahupun menjadi mangsa scammer. Siapakah yang mampu melihat Syurga atau Neraka di dunia?

Adakah mereka mencapai Rasulullah? Secara asasnya tidak. Sebab itu mereka bermazhab Shafie, bukan bermazhab Muhammad. Keikhlasan yang luhur di zaman kanak-kanak mencari Tuhan sudah menjadi kotor. Kenapa perlu bermazhab Muhammad jika mazhab Shafie itu terbaik?

Saya menganggap ini suatu bencana akibat tidak ikhlas. Manusia yang tidak ikhlas mampu memakai jubah, mahupun mendapatkan ijazah Syariah, mahupun menjadi mufti.

Jika Nabi masih hidup, baginda tidak diterima sebagai pegawai agama kerana baginda tiada sijil agama.

Wallahualam.

Friday 31 July 2020

Hadis Bhg. IV

Nabi sering difitnah oleh umat baginda sendiri. Non muslim belajar dari gejala ini lalu mengambil peluang untuk menghina Nabi, kemudian mereka dipersalahkan pula.

Pendosa yang kelihatan terlepas adalah umat Islam sendiri yang menyalahgunakan hadis.

Atau masyarakat yang bersubhat dengan dosa ini seperti pegawai-pegawai agama mahupun ahli jawatankuasa masjid.

Namun, ada sebab selain duit atau pengaruh disebalik dosa ini, yakni ketaksuban.

Dalam konteks ini, ketaksuban adalah berpunca dari nafsu mahukan Syurga.

Syurga adalah ujian menguji keikhlasan manusia. Apa beza golongan pentaksub Syurga dengan penagih dadah? Masing-masing lupakan Allah demi mengejar nikmat kesedapan.

Apabila anda tidak cukup ikhlas terhadap Allah, di sini laluan anda terpesong. Anda melihat Nabi, padahal bukan Nabi.

Anda melihat Syurga, padahal bukan Syurga.

Anda melihat Islam, padahal bukan Islam.

Anda menyentuh al-Quran, padahal anda menyentuh kekotoran yang ada pada diri anda.

Anda mahukan Allah, atau anda mahukan Syurga?

Wallahualam.


Tuesday 30 June 2020

Akidah Bhg. IV

Orang Melayu takutkan lambang salib, apatahlagi untuk membaca Bible. Namun lihat Zakir Naik disanjung orang Melayu gara-gara beliau mendalami Bible.

Bible yang "sepatutnya" diharamkan oleh jabatan agama tetapi dihalalkan atas nama demokrasi, namun kitab sesat ini jua yang mengangkat nama Zakir Naik. Lihat bagaimana umat Islam berpusu-pusu mahu berjumpa dan mendengar pandangan beliau.

Saya pernah ditegur kerana saya mencedok ilmu dari Rashad Khalifa. Soalan saya, dimanakah Zakir Naik hari ini jika beliau tidak mecedok ilmu dari paderi? Setahu saya guru kepada Zakir Naik, yakni Ahmad Deedat, juga mencedok ilmu dari Rashad Khalifa.

Apa yang berlaku? Jawapannya akidah. Orang Melayu lebih takutkan terkeluar dari akidah, dari takutkan Allah.

Saya orang Melayu, tetapi saya lebih takutkan Allah dari takut terkeluar dari akidah. Anda lihat bagaimana pembaca boleh sengaja salahfaham kenyataan yang saya buat di atas berkenaan orang Melayu.

Atau sebelum ini saya mengkritik ahli Sunnah di fesbuk, kemudian saya dikritik balik;

"Kenapa mengutuk semua ahli Sunnah teruk?"

Sedangkan tiada perkataan "semua" dalam kritikan terhadap Ahli Sunnah tersebut. Bak pepatah Melayu menyebut;

"Rambut sama hitam, hati lain-lain"

Realitinya al-Quran yang sama, tetapi difahami berbeza oleh pembaca yang berbeza.

Jika anda lebih takutkan terkeluar dari akidah dari takutkan Allah, maka anda yang bermasalah.

Wallahualam.

Sunday 31 May 2020

Niat

Imam mengajar kita bahawa kita hendaklah beribadat kerana Allah. Menjadi tradisi untuk membaca niat ini sebelum kita beribadat.

Menjadi kebiasaan umat untuk mempunyai lebih sebab dalam beribadat, seperti kerana pahala atau Syurga, atau kerana disuruh orang lain, atau juga kerana budaya masyarakat.

Anda lulus niat kerana Allah jika Allah dijadikan prioriti nombor satu sebab anda beribadat. Namun realitinya lebih indah khabar dari rupa.

Realitinya bab niat dipandang rendah oleh umat sendiri. Ia kelihatan boleh diabaikan kerana secara asasnya orang lain tidak nampak apa niat di qalbu anda, maka anda masih boleh menjadi umat pujaan ramai.

Walaupun umat membaca niat kerana Allah, kelihatan niat lain lebih prioriti seperti pahala atau Syurga. Jika anda gagal bab niat, bagaimana dengan kualiti ibadat anda?

Rakan saya mengatakan dia menyokong hudud kerana mahu membanteras jenayah. Niat ini diletakkan lebih tinggi dari niat kerana Allah. Jika bab niat pun gagal, anda jangkakan hudud anda itu mendapat keredhaan Allah? Kemudian anda berasa anda lebih alim dari penentang hudud?

Adakah tangan suspek pencuri yang dipotong boleh disambung semula akibat kesilapan hudud anda? Siapa golongan zalim dalam bab ini?

Jika dalam bab sembahyang anda tidak mendatangkan bencana kepada orang lain, ini berbeza dengan bab hudud Sunni yang boleh melibatkan ramai calon mangsa.

Dalam erti kata lain, golongan pentaksub bukan penyelesaian yang tuntas sebagai eksekutif agama. Jika anda terpedaya dengan kulit buku yang cantik, adakah ia menjamin isi buku yang berkualiti?

Wallahualam.

Wednesday 29 April 2020

Rasulullah Bhg. IV

Dan tidak aku soalkan atasnya dari upah sesungguhnya upahku hanya atas rabb alam-alam itu (26:109).

Apabila anda menyaksikan kemalangan jalanraya, anda menelefon ambulans tanpa anda meminta upah.

Apabila anak anda menagih dadah, anda menasihati anak anda tanpa anda kenakan caj.

Ini kerana anda berasa tindakan anda itu begitu penting, dan anda berasa bertanggungjawab, sehingga anda tidak sanggup meminta upah.

Anda adalah seorang sukarelawan. Anda memberi mesej secara percuma.

Saya menyebut "mesej" di sini, ini kerana tugas Rasulullah adalah memberi mesej seperti memberi peringatan dan khabar gembira.

Mesej adalah bersifat "intangible". Seseorang yang buta huruf tidak mendapat mesej dari coretan ini walaupun beliau membaca coretan ini. Coretan bersifat fizikal, namun, mesej itu sendiri bukan fizikal.

Sebab itu Firaun tidak dapat "menyentuh" mesej dari Musa, walau Firaun mempunyai mata dan telinga secara fizikal.

Dunia hari ini, apabila anak muda menyambung pelajaran dalam bidang agama, beliau memikirkan kerjaya agama suatu hari nanti bagi menyara hidup. Dalam erti kata lain, pemimpin Islam telah menjadikan sektor dakwah Islam sebagai satu industri "mencari makan".

Ironinya pemimpin Islam mengajar kita bahawa Nabi mencari rezeki dengan mengembala kambing dan berdagang, namun penyambung legasi baginda kelihatan bergantung harap kepada "penjualan agama" bagi menyambung kelangsungan hidup.

Wallahualam.

Tuesday 31 March 2020

Rasulullah Bhg. III

Rasulullah tidak "mewariskan" perkara seperti berapa panjang janggut baginda, seputih mana kulit baginda, atau berapa ketinggian baginda.

Ini kerana perkara ini kurang penting berbanding keikhlasan anda kepada Allah.

Jika anda menyedari perkara ini, sepatutnya anda tahu kepentingan yang mana patut anda dahulukan.

Sejarah berulang seperti siang dan malam. Umat para Rasul terdahulu telah terpesong. Umat Muhammad juga terpesong.

Ini kerana karakter manusia memilih untuk menderhaka kepada Allah. Ini menjustifikasikan kenapa Neraka dicipta.

Wallahualam.

Saturday 29 February 2020

Taksub

Hari ini, lazimnya pemimpin Sunni berdakwah nilai anti-taksub secara khususnya kepada konflik antara mazhab feqah imam-imam muktabar Sunni.

Maka kebiasaan kita dengar konsep bahawa "semua mazhab Sunni adalah betul" dan kita diseru meraikan percanggahan antara mazhab-mazhab berkenaan.

Namun ini tidak menyelesaikan masalah agama Islam secara komprehensif kerana dalam al-Quran tiada perkataan "Sunnah Rasul" atau "Sunnah Nabi".

Maka orang yang bijak akan pergi kepada tahap yang lebih tinggi yakni menguasai nilai anti-taksub di peringkat mazhab aqidah.

"Akhlak rasulullah adalah Al Quran" (Riwayat Muslim).

Kita lihat bagaimana penganut Sunni meninggalkan hadis ini demi mengejar "Sunnah Nabi". Jelas, mereka juga tergolong dalam golongan pentaksub.

Wallahualam.

Friday 31 January 2020

Sampai Bila

Sampai Bila

Pencipta: Ariji
Penulis lirik: Ariji

engkaulah bidadari
lirik matamu
senyum manismu
lunak suara menggoda jiwa

sudikah engkau denganku
sudikah engkau denganku
bersamaku selamanya

lalu kau uji cinta
dengan cemburu
aduh seksanya memang aku
aku cemburu

sudikah engkau denganku
sudikah engkau denganku
bersamaku selamanya

sepi tanpa cintamu yang ku tunggu-tunggu
sampai bilakah harus aku menanti cinta darimu

apakah ku bertepuk tangan
sebelah sahaja
sebelah saja (sayangku)