Wednesday 27 January 2010

Mentaati Allah Dan Rasul

Mari kita perhatikan Surah An-Nisa' ayat 4;

Wahai kamu yang beriman, taatilah Allah dan Rasul dan yang berkuasa di antara kamu. Tetapi jika kamu berselisih dalam apa-apa hal, kemudian kamu haruslah merujuknya kepada Allah dan rasulNya jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itu adalah lebih baik dan lebih sesuai untuk penyelesaian.

Ayat ini sering dijadikan dalil oleh penganut mazhab tertentu agar kita mentaat Imam dan periwayat hadis pilihan mereka. Persoalannya, siapakah yang dimaksudkan 'yang berkuasa di antara kamu' tersebut? Barrack Obama? Mahathir Mohamad? Nik Aziz Nik Mat? atau Al-Bukhari?

Hakikatnya, bukannya sedikit mereka yang berkuasa di atas muka bumi ini. Malah, boleh jadi diri kita sendiri yang berkuasa. Jika kita mentaati sesiapa sahaja yang berkuasa, maka akan berlakulah kerosakan di muka bumi.

Untuk memahami ayat ini, maka mari kita perhatikan sekali lagi ayat tersebut;

...taatilah Allah dan Rasul dan yang berkuasa di antara kamu...

Kalimah 'Allah' didahulukan, kemudian barulah kalimah 'Rasul' dan seterusnya kalimah 'yang berkuasa di antara kamu'.

Jika yang berkuasa tersebut mengajak kepada perkara mungkar, maka kita tidak perlu mentaatinya. Begitu juga dengan 'Rasul'.

Persoalannya, bagaimana pula penganut mazhab tertentu boleh membenarkan untuk mentaati 'Rasul' walaupun perintah 'Rasul' tersebut bertentangan dengan perintah Allah?

Jika kita lihat mazhab-mazhab yang wujud pada hari ini, pelbagai versi 'Rasul' yang menjadi ikutan. Ada 'Rasul' yang memenjarakan tertuduh atas kesalahan meninggalkan solat, meletakkan hukum wajib bagi menyimpan janggut, meletakkan hukum haram bagi perbuatan mendengar muzik dan sebagainya.

Adakah mereka 'terlepas pandang' bahawa perintah 'Rasul' versi mereka itu bertentangan dengan perintah Allah?

Atau mereka mengikut ajaran nenek moyang semata-mata?

Surah Al-Baqarah ayat 170-171;

Dan jika mereka diberitahu "Turutlah akan apa yang Allah telah turunkan" mereka menjawab: "Tidak, kami akan mengikut apa yang kami dapati nenek moyang kami lakukan". Bagaimana jika nenek moyang mereka tidak faham sesuatu dan tidak mendapat petunjuk hidayah? Dan contoh yang kufur adalah seperti yang mengulangi apa yang dia telah dengar akan panggilan dan jeritan; pekak, bisu dan buta, mereka tidak faham.

Wallahualam.

Thursday 21 January 2010

Ugutan Bunuh Daripada Seorang Penganut Sunni

Sebahagian daripada tulisan saya berkenaan dengan isu agama di sebuah laman forum telah dihapuskan oleh seorang moderator. Berikut adalah dialog seterusnya;

Ariji wrote:
angah108, kerja kamu delete tulisan org ke skrg ni?

tulisan awek xnk delete ke?

aku tahu la aku ada misai dgn janggut...  Very Happy

penyamuntarbus wrote:
kalau aku ditempat angah dengan kamu aku delete.... 

Ariji wrote:
kenapa tak samun aje? kamu kan penyamuntarbus?

penyamuntarbus wrote:
kalau ada depan aku bukan samun bahkan kepala kau aku kerat. Evil or Very Mad

Ariji wrote:
Tunjukkan aku dalil drp al-Quran yang menghalalkan kamu menyamun dan mengerat kepala aku. Very Happy

Setakat ini, suspek belum mengemukakan dalil yang saya minta. Suspek sebelum ini pernah mencadangkan agar saya dipancung. Mungkin fatwa sebeginilah yang membawa kepada pengeboman masjid dan pembunuhan dikalangan penganut Sunni dan Syiah.

Pada mulanya, masing-masing saling menuduh sebagai murtad, seterusnya menggunakan dalil daripada hadis tertentu untuk meng'halal'kan pembunuhan.

Wallahualam.

Wednesday 20 January 2010

Kalendar Hijrah


Kalendar Hijrah adalah berasaskan putaran fasa Bulan. Mungkin sebab inilah bendera Parti Islam Semalaysia (PAS) menggunakan gambar Bulan. 

Persoalannya, bagaimana pula dengan Matahari? Surah Yunus ayat 5 menjelaskan bahawa Matahari juga berfungsi dalam menentukan sistem kalendar.

Bilangan hari untuk setahun dalam kalendar Hijrah adalah 354. Manakala bilangan perkataan 'hari' dalam al-Quran berjumlah 365. Hakikatnya, bilangan hari sebanyak 365 setahun ini hanya boleh didapati apabila kita turut menggunakan fungsi Matahari dalam sistem kalendar.

Wallahualam.

Saturday 16 January 2010

Anak


Bukan sedikit buku berkenaan perancangan awal kanak-kanak yang dijual di kedai-kedai buku. Bukan juga sedikit kisah masyarakat yang memaparkan 'ketidakberbaloian' membesarkan anak apabila si anak menjadi 'Si Tanggang' setelah si anak dewasa.

Saya sebagai bakal ayah juga membuat perancangan awal untuk si anak. Antaranya adalah berkenaan penyusuan. Sila rujuk Surah Al-Baqarah ayat 233. Si anak perlu minum susu manusia sahaja selama dua tahun (kalendar Masihi). Jangan terpedaya dengan iklan dan produk susu lembu. Lazimnya, mereka akan melakukan 'apa saja' demi keuntungan.  Mungkin si bapa 'kurang sayangkan diri-sendiri' dengan bekerja dalam keadaan berisiko untuk menyara keluarga. Iklan produk Panadol sesuai untuk menggambarkan keringat si ayah mengembeleng rezeki. Persoalannya apakah sayang kepada anak juga perlu 'kurang' juga? Si ayah sudah tentu mahukan 'pelaburan' tersebut membuahkan 'keluarga berkualiti'.

Jika si ayah ingin memberi si anak susu lembu sekalipun, berilah selepas tempoh dua tahun tersebut. Si ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa lazimnya tiada banyak masalah tentang hal ini. Persoalannya, kalau hendak seribu daya. Walaupun si ibu bekerja, carilah jalan agar si anak diberi susu manusia sahaja selama dua tahun.

Perkara kedua adalah dari segi pendidikan. Si anak kecil adalah manusia yang 'suka meneroka', 'suka membantah', 'suka mempersoal', dan 'suka melawan'. Dalam pada masa yang sama, si anak kecil adalah 'cepat belajar', 'mudah terpengaruh' dan sebagainya.

Saya merancang untuk memberikan si anak pendidikan al-Quran seawal mungkin. Satu kelebihan jika si ibu mampu menjadi gurunya. Penekanan sepatutnya lebih kepada pemahaman, bukan hafalan semata-mata. Ini kerana dengan pemahaman, maka boleh terus beramal, walau tidak dihafal.

Ketika si anak kecil belajar bahasa, apakah dia menghafal kamus? Tidak. Si anak belajar melalui pemahaman. Alangkah ruginya jika sesuatu ilmu itu hanya dihafal, tetapi tidak difahami.

Tidak perlu menunggu cikgu mengajar si anak tentang 'Rukun Islam' dalam kelas untuk mereka memahami apa itu Islam. Dia akan menemui bahawa Islam itu lebih daripada 'Rukun Islam'. Bukannya sedikit orang Islam yang memenuhi 'Rukun Islam' tetapi sejauh mana Islamnya mereka? Bahkan mungkin ada yang merasa sudah cukup Islam apabila melaksanakan kesemua 'Rukun Islam' tersebut.

Ketiga, budaya membaca. Saya bercadang untuk menempatkan sudut perpustakaan khas untuk si anak. Biarkan dia menghabiskan masa lapang dengan membaca buku seterusnya mempercepatkan pertumbuhan kematangannya, insyaallah.

Keempat, memupuk minat dan hobi si anak. Pada permulaan, si ayah perlulah mengenali terlebih dahulu apakah minat dia. Mendedahkan si anak kepada aktiviti yang masih belum dia kenali adalah satu permulaan yang baik. Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan masing-masing. Sebagai contoh, ambil saja diri saya.

Saya tidak berminat untuk menjadi seorang doktor. Berilah walau gaji RM10,000 sebulan, tidak mampu membeli minat saya kepada pekerjaan tersebut, melainkan minat kepada wang tersebut. Manakala kepuasan kerja mungkin tiada, yang ada mungkin cuma keseksaan bekerja.

Dalam erti kata lain, saya bukan dilahirkan untuk menjadi seorang doktor. Berbeza pula bagi sebahagian orang lain yang mungkin mendapat kepuasan kerja dengan menjadi seorang doktor. Sebagaimana banyaknya spesies tumbuhan dan haiwan, mungkin begitulah boleh digambarkan banyaknya perbezaan antara manusia.

Persoalannya, bagaimana jika minat si anak kepada perkara-perkara negatif dan merbahaya? Untuk menghadapi masalah ini, kita berbalik pula kepada pendidikan al-Quran yang dinyatakan sebelum ini. Insyaallah, jika dia memahami al-Quran, ia akan menjadi senjata ampuh untuk mempertahankan diri daripada kemungkaran.

Ini mengingatkan saya kepada satu kes di Rusia, di mana si penjaga menghadapi dilemma apabila si anak kecil ingin menyertai latihan tentera yang disediakan oleh kerajaan Rusia. Mereka dilatih menjadi pakar dalam pelbagai kemahiran ketenteraan pada usia awal kanak-kanak lagi seterusnya diharap dapat menjamin keselamatan negara.

Setakat ini, mungkin hanya inilah perancangan awal saya terhadap penjagaan anak kelak. Oleh kerana calon isteri dan perancangan perkahwinan pun masih kabur, boleh diandaikan bahawa saya masih mempunyai banyak masa untuk memikirkan tentang hal ini.

Wallahualam.

Saturday 9 January 2010

Teman Hidup

"Jodoh di tangan Allah". Ungkapan ini adalah perkara biasa apabila kita bercakap tentang soal teman hidup. Berfikir tentang bakal isteri adalah agak popular di minda saya.

Begitu ramai perempuan-perempuan cantik fizikalnya, samada di tepi jalan atau di tengah jalan. Dalam erti kata lain, untuk mencari calon isteri yang cantik fizikalnya bukanlah perkara yang sukar, jika hanya itu sebagai sandaran.

Saya seorang yang sangat cerewet dalam hal ini. Rakan perempuan saya berkata "Jika mahukan perempuan yang baik, kamu juga perlu jadi yang baik". Ini mengingatkan saya pada Surah An Nur ayat 26.

Apabila saya soalkan diri saya "Kenapa kamu mahukan perempuan yang baik?" Saya menjawab "Kerana dalam al-Quran tiada dinyatakan agar orang yang beriman supaya berkahwin dengan perempuan jahat."

Ketika saya berada di Tingkatan Tiga, saya telah jatuh cinta kepada seorang wanita bernama Marit Larsen. Saya berkata kepada diri saya "That's my dream girl!". Dia juga menyanyikan lagu The Girl In Your Dream.

Ketika itu, perasaan cinta pada wanita tersebut membuatkan saya belajar Bahasa Inggeris lebih bersungguh-sungguh daripada biasa. Kenapa? Kerana ingin mengorat dia. "Takkanlah aku nak mengorat dia dengan menggunakan Bahasa Melayu?" Persoalan ini menguatkan diri saya kenapa saya perlu belajar Bahasa Inggeris.

Kemudian, minat saya kepada Bahasa Inggeris menjadi lebih daripada biasa. Alhamdulillah, dari seorang pelajar Bahasa Inggeris yang lemah, akhirnya saya mendapat A untuk subjek Bahasa Inggeris dalam Peperiksaan Menengah Rendah.

Kedengaran seperti saya telah melalui jalan yang kurang lurus. Ya, saya mengaku. Ketika itu saya berada di peringkat 'kejahilan'. Masih belum mengenal erti cinta kepada Allah dengan makna yang sebenar.

Itulah manusia. Melalui jalan pengetahuan secara berperingkat. Daripada penganut Kristian, lalu memeluk Islam. Daripada penganut Islam, lalu kemudiannya murtad setelah menyedari bahawa Islam ini 'ganas'.

Apabila saya melongkar kisah cinta manusiawi, saya mendapati ramai pasangan yang menghadapi masalah gara-gara kerana unsur kepura-puraan dan hipokrit pasangan mereka. Masing-masing mempunyai ciri-ciri idaman terhadap calon teman hidup. Apabila kepura-puraan itu terbongkar, maka di situlah muncul konflik pergeseran.

Bagi saya, lebih baik konflik itu muncul daripada kejujuran, sebagaimana berlaku apabila saya berdialog dengan pihak tertentu dalam isu agama. Dalam ilmu komunikasi, konflik adalah sesuatu yang penting dan amat berguna apabila disalurkan pada cara yang betul. Konflik mampu menghasilkan jawapan yang lebih tepat terhadap sesuatu persoalan.

Setakat pada hari ini, berikut adalah ciri-ciri asas bagi calon teman hidup saya;

Ambitious
Beautiful
Koranic
Modest
Patient

Pada mulanya saya meletakkan religious sebelum digantikan dengan Koranic. Ketika itu saya bertanya "Bagaimana pula dengan penganut agama lain yang religous?"

Saya masih boleh menerima mereka yang sebegitu dengan syarat mereka ikhlas untuk mencari kebenaran. Namun kemudiannya saya menukar kepada Koranic; lebih spesifik dan kurang 'kepura-puraan'.

Saya juga ada bertanya kepada diri saya "Bagaimana jika kamu tidak berjumpa dengan calon sebaik itu?" Saya menjawab "Kenapa saya perlu berkahwin dalam keadaan hipokrit?"


Ini mengingatkan saya kepada sebuah lagu kegemaran saya "Kucinta Apa Adanya Kamu" nyanyian Chelsea Olivia. Dalam lirik lagu tersebut bermaksud si pencinta menerima orang yang dicintai segala kelemahan dan kelebihannya.

Lirik tersebut menonjolkan beberapa perkara antaranya adalah keikhlasan. Saya tiada masalah dengan aspek ini. Tetapi bagaimana jika orang yang dicintai itu adalah seorang musyrik? Perompak bank? Perasuah dan sebagainya?

Chelsea sendiri, lakonannya dalam filem Bukan Bintang Biasa berkaitan lagu tersebut mengisahkan akhirnya dia menolak cinta kekasihnya kerana kekasihnya suka menipu (sebelum menerimanya kembali setelah kekasihnya itu insaf). Di sini kita dapat lihat ada unsur kepura-puraan oleh pembawa watak itu sendiri. Pada ketika itu, kekasihnya hairan, kerana selama ini Chelsea berpegang kepada prinsip 'terima seadanya' tetapi tidak dapat menerima dirinya yang pengebull.

Di sini kita lihat perlu ada satu tapisan dalam memilih calon teman hidup. Dan tapisan ini ditekankan dalam al-Quran contohnya seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 221;

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sehinggalah mereka beriman. Bagi seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada seorang perempuan musyrik walaupun jika dia membuatkan kamu tertarik. Dan janganlah kamu berkahwin dengan lelaki-lelaki musyrik sebelum mereka beriman. Bagi seorang hamba lelaki yang beriman itu lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun dia membuatkan kamu tertarik. Yang itu mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak ke Syurga dan keampunan dengan izinNya. Dia menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia, supaya mereka beringat.

Wallahualam.

Sunday 3 January 2010

Apakah Itu Hadis?


Perkataan 'Hadis', pada hari ini secara khususnya adalah merujuk kepada ucapan yang diucapkan oleh Nabi Muhammad selain daripada wahyu.

Ucapan Nabi Muhammad yang datang menerusi Jibril adalah wahyu atau dikenali sebagai al-Quran. Mari kita perhatikan Surah An Najm ayat 3-10;

Dan ia tidak memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. Wahyu itu diajarkan kepadanya oleh yang amat kuat gagah. Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya dengan rupanya asal, Sedang ia berada di arah yang tinggi; Kemudian ia mendekatkan dirinya, lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit, Sehingga menjadilah jarak sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi. Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya apa yang telah diwahyukanNya.

Berdasarkan dalil di atas, ucapan Nabi Muhammad yang datang melalui Jibril sahaja adalah wahyu. Ucapan Nabi Muhammad yang lain kenali sebagai Hadis.

Akibat daripada masalah komunikasi, salah faham, fitnah dan sebagainya, kesucian Hadis itu telah tercemar sehingga para ulama mewujudkan beberapa kategori bagi menilai Hadis yang sebenar.

Kategori tersebut adalah seperti; Mutawatir, Mashyur,  Sahih, Hasan, Maudhuk' dan sebagainya. Sila rujuk; http://forum.cari.com.my/archiver/?tid-207018.html

Malah, Hadis Sahih sendiri masih boleh dipertikaikan lagi sanadnya. Sila rujuk; http://drmaza.com/home/?p=899

Mana-mana riwayat 'Hadis' yang bercanggah dengan riwayat wahyu adalah salah faham/fitnah terhadap Nabi Muhammad. Ini kerana baginda sendiri menjadikan wahyu bagi menghakimi permasalahan di antara manusia. Surah An Nisa' ayat 105;

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu; dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Tambahan pula, kesalahan Nabi Muhammad sendiri diperingatkan melalui wahyu. Surah At Tahrim ayat 1;

Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? Dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jika benarpun baginda pernah melakukan hukuman rejam sampai mati, Perbuatan itu sepatutnya hanya berlaku sebelum turunnya Surah An Nur ayat 2;

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Maka bagaimana pula boleh wujud 'ijmak ulama' tentang hukuman rejam sampai mati? Atau itu salah satu daripada salah faham/fitnah terhadap sahabat-sahabat Nabi?

Malangnya, gejala salah faham/fitnah itu untuk sampai ke hari ini telah mengakibatkan berlakunya banyak kemungkaran sehingga mengorbankan banyak nyawa.

Semuanya gara-gara apabila orang-orang Islam mentaati 'Hadis' walaupun 'Hadis' tersebut bercanggah dengan wahyu.

Oleh itu, apabila saya menulis perkataan 'Hadis' dalam tulisan saya, saya merujuk kepada 'Hadis' yang terdapat dalam Kitab-Kitab Hadis, bukannya merujuk kepada ucapan Nabi Muhammad.

Terlalu banyak salah faham/fitnah yang melanda baginda, saya sendiri tidak mahu terlibat dalam wabak salah faham/fitnah tersebut.

Wallahualam.