Sunday, 3 January 2010

Apakah Itu Hadis?


Perkataan 'Hadis', pada hari ini secara khususnya adalah merujuk kepada ucapan yang diucapkan oleh Nabi Muhammad selain daripada wahyu.

Ucapan Nabi Muhammad yang datang menerusi Jibril adalah wahyu atau dikenali sebagai al-Quran. Mari kita perhatikan Surah An Najm ayat 3-10;

Dan ia tidak memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. Wahyu itu diajarkan kepadanya oleh yang amat kuat gagah. Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya dengan rupanya asal, Sedang ia berada di arah yang tinggi; Kemudian ia mendekatkan dirinya, lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit, Sehingga menjadilah jarak sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi. Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya apa yang telah diwahyukanNya.

Berdasarkan dalil di atas, ucapan Nabi Muhammad yang datang melalui Jibril sahaja adalah wahyu. Ucapan Nabi Muhammad yang lain kenali sebagai Hadis.

Akibat daripada masalah komunikasi, salah faham, fitnah dan sebagainya, kesucian Hadis itu telah tercemar sehingga para ulama mewujudkan beberapa kategori bagi menilai Hadis yang sebenar.

Kategori tersebut adalah seperti; Mutawatir, Mashyur,  Sahih, Hasan, Maudhuk' dan sebagainya. Sila rujuk; http://forum.cari.com.my/archiver/?tid-207018.html

Malah, Hadis Sahih sendiri masih boleh dipertikaikan lagi sanadnya. Sila rujuk; http://drmaza.com/home/?p=899

Mana-mana riwayat 'Hadis' yang bercanggah dengan riwayat wahyu adalah salah faham/fitnah terhadap Nabi Muhammad. Ini kerana baginda sendiri menjadikan wahyu bagi menghakimi permasalahan di antara manusia. Surah An Nisa' ayat 105;

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu; dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Tambahan pula, kesalahan Nabi Muhammad sendiri diperingatkan melalui wahyu. Surah At Tahrim ayat 1;

Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? Dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jika benarpun baginda pernah melakukan hukuman rejam sampai mati, Perbuatan itu sepatutnya hanya berlaku sebelum turunnya Surah An Nur ayat 2;

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Maka bagaimana pula boleh wujud 'ijmak ulama' tentang hukuman rejam sampai mati? Atau itu salah satu daripada salah faham/fitnah terhadap sahabat-sahabat Nabi?

Malangnya, gejala salah faham/fitnah itu untuk sampai ke hari ini telah mengakibatkan berlakunya banyak kemungkaran sehingga mengorbankan banyak nyawa.

Semuanya gara-gara apabila orang-orang Islam mentaati 'Hadis' walaupun 'Hadis' tersebut bercanggah dengan wahyu.

Oleh itu, apabila saya menulis perkataan 'Hadis' dalam tulisan saya, saya merujuk kepada 'Hadis' yang terdapat dalam Kitab-Kitab Hadis, bukannya merujuk kepada ucapan Nabi Muhammad.

Terlalu banyak salah faham/fitnah yang melanda baginda, saya sendiri tidak mahu terlibat dalam wabak salah faham/fitnah tersebut.

Wallahualam.

No comments: