Wednesday, 27 January 2010

Mentaati Allah Dan Rasul

Mari kita perhatikan Surah An-Nisa' ayat 4;

Wahai kamu yang beriman, taatilah Allah dan Rasul dan yang berkuasa di antara kamu. Tetapi jika kamu berselisih dalam apa-apa hal, kemudian kamu haruslah merujuknya kepada Allah dan rasulNya jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itu adalah lebih baik dan lebih sesuai untuk penyelesaian.

Ayat ini sering dijadikan dalil oleh penganut mazhab tertentu agar kita mentaat Imam dan periwayat hadis pilihan mereka. Persoalannya, siapakah yang dimaksudkan 'yang berkuasa di antara kamu' tersebut? Barrack Obama? Mahathir Mohamad? Nik Aziz Nik Mat? atau Al-Bukhari?

Hakikatnya, bukannya sedikit mereka yang berkuasa di atas muka bumi ini. Malah, boleh jadi diri kita sendiri yang berkuasa. Jika kita mentaati sesiapa sahaja yang berkuasa, maka akan berlakulah kerosakan di muka bumi.

Untuk memahami ayat ini, maka mari kita perhatikan sekali lagi ayat tersebut;

...taatilah Allah dan Rasul dan yang berkuasa di antara kamu...

Kalimah 'Allah' didahulukan, kemudian barulah kalimah 'Rasul' dan seterusnya kalimah 'yang berkuasa di antara kamu'.

Jika yang berkuasa tersebut mengajak kepada perkara mungkar, maka kita tidak perlu mentaatinya. Begitu juga dengan 'Rasul'.

Persoalannya, bagaimana pula penganut mazhab tertentu boleh membenarkan untuk mentaati 'Rasul' walaupun perintah 'Rasul' tersebut bertentangan dengan perintah Allah?

Jika kita lihat mazhab-mazhab yang wujud pada hari ini, pelbagai versi 'Rasul' yang menjadi ikutan. Ada 'Rasul' yang memenjarakan tertuduh atas kesalahan meninggalkan solat, meletakkan hukum wajib bagi menyimpan janggut, meletakkan hukum haram bagi perbuatan mendengar muzik dan sebagainya.

Adakah mereka 'terlepas pandang' bahawa perintah 'Rasul' versi mereka itu bertentangan dengan perintah Allah?

Atau mereka mengikut ajaran nenek moyang semata-mata?

Surah Al-Baqarah ayat 170-171;

Dan jika mereka diberitahu "Turutlah akan apa yang Allah telah turunkan" mereka menjawab: "Tidak, kami akan mengikut apa yang kami dapati nenek moyang kami lakukan". Bagaimana jika nenek moyang mereka tidak faham sesuatu dan tidak mendapat petunjuk hidayah? Dan contoh yang kufur adalah seperti yang mengulangi apa yang dia telah dengar akan panggilan dan jeritan; pekak, bisu dan buta, mereka tidak faham.

Wallahualam.

No comments: