Bukan sedikit buku berkenaan perancangan awal kanak-kanak yang dijual di kedai-kedai buku. Bukan juga sedikit kisah masyarakat yang memaparkan 'ketidakberbaloian' membesarkan anak apabila si anak menjadi 'Si Tanggang' setelah si anak dewasa.
Saya sebagai bakal ayah juga membuat perancangan awal untuk si anak. Antaranya adalah berkenaan penyusuan. Sila rujuk Surah Al-Baqarah ayat 233. Si anak perlu minum susu manusia sahaja selama dua tahun (kalendar Masihi). Jangan terpedaya dengan iklan dan produk susu lembu. Lazimnya, mereka akan melakukan 'apa saja' demi keuntungan. Mungkin si bapa 'kurang sayangkan diri-sendiri' dengan bekerja dalam keadaan berisiko untuk menyara keluarga. Iklan produk Panadol sesuai untuk menggambarkan keringat si ayah mengembeleng rezeki. Persoalannya apakah sayang kepada anak juga perlu 'kurang' juga? Si ayah sudah tentu mahukan 'pelaburan' tersebut membuahkan 'keluarga berkualiti'.
Jika si ayah ingin memberi si anak susu lembu sekalipun, berilah selepas tempoh dua tahun tersebut. Si ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa lazimnya tiada banyak masalah tentang hal ini. Persoalannya, kalau hendak seribu daya. Walaupun si ibu bekerja, carilah jalan agar si anak diberi susu manusia sahaja selama dua tahun.
Perkara kedua adalah dari segi pendidikan. Si anak kecil adalah manusia yang 'suka meneroka', 'suka membantah', 'suka mempersoal', dan 'suka melawan'. Dalam pada masa yang sama, si anak kecil adalah 'cepat belajar', 'mudah terpengaruh' dan sebagainya.
Saya merancang untuk memberikan si anak pendidikan al-Quran seawal mungkin. Satu kelebihan jika si ibu mampu menjadi gurunya. Penekanan sepatutnya lebih kepada pemahaman, bukan hafalan semata-mata. Ini kerana dengan pemahaman, maka boleh terus beramal, walau tidak dihafal.
Ketika si anak kecil belajar bahasa, apakah dia menghafal kamus? Tidak. Si anak belajar melalui pemahaman. Alangkah ruginya jika sesuatu ilmu itu hanya dihafal, tetapi tidak difahami.
Tidak perlu menunggu cikgu mengajar si anak tentang 'Rukun Islam' dalam kelas untuk mereka memahami apa itu Islam. Dia akan menemui bahawa Islam itu lebih daripada 'Rukun Islam'. Bukannya sedikit orang Islam yang memenuhi 'Rukun Islam' tetapi sejauh mana Islamnya mereka? Bahkan mungkin ada yang merasa sudah cukup Islam apabila melaksanakan kesemua 'Rukun Islam' tersebut.
Ketiga, budaya membaca. Saya bercadang untuk menempatkan sudut perpustakaan khas untuk si anak. Biarkan dia menghabiskan masa lapang dengan membaca buku seterusnya mempercepatkan pertumbuhan kematangannya, insyaallah.
Keempat, memupuk minat dan hobi si anak. Pada permulaan, si ayah perlulah mengenali terlebih dahulu apakah minat dia. Mendedahkan si anak kepada aktiviti yang masih belum dia kenali adalah satu permulaan yang baik. Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan masing-masing. Sebagai contoh, ambil saja diri saya.
Saya tidak berminat untuk menjadi seorang doktor. Berilah walau gaji RM10,000 sebulan, tidak mampu membeli minat saya kepada pekerjaan tersebut, melainkan minat kepada wang tersebut. Manakala kepuasan kerja mungkin tiada, yang ada mungkin cuma keseksaan bekerja.
Dalam erti kata lain, saya bukan dilahirkan untuk menjadi seorang doktor. Berbeza pula bagi sebahagian orang lain yang mungkin mendapat kepuasan kerja dengan menjadi seorang doktor. Sebagaimana banyaknya spesies tumbuhan dan haiwan, mungkin begitulah boleh digambarkan banyaknya perbezaan antara manusia.
Persoalannya, bagaimana jika minat si anak kepada perkara-perkara negatif dan merbahaya? Untuk menghadapi masalah ini, kita berbalik pula kepada pendidikan al-Quran yang dinyatakan sebelum ini. Insyaallah, jika dia memahami al-Quran, ia akan menjadi senjata ampuh untuk mempertahankan diri daripada kemungkaran.
Ini mengingatkan saya kepada satu kes di Rusia, di mana si penjaga menghadapi dilemma apabila si anak kecil ingin menyertai latihan tentera yang disediakan oleh kerajaan Rusia. Mereka dilatih menjadi pakar dalam pelbagai kemahiran ketenteraan pada usia awal kanak-kanak lagi seterusnya diharap dapat menjamin keselamatan negara.
Setakat ini, mungkin hanya inilah perancangan awal saya terhadap penjagaan anak kelak. Oleh kerana calon isteri dan perancangan perkahwinan pun masih kabur, boleh diandaikan bahawa saya masih mempunyai banyak masa untuk memikirkan tentang hal ini.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment