Wednesday 29 April 2020

Rasulullah Bhg. IV

Dan tidak aku soalkan atasnya dari upah sesungguhnya upahku hanya atas rabb alam-alam itu (26:109).

Apabila anda menyaksikan kemalangan jalanraya, anda menelefon ambulans tanpa anda meminta upah.

Apabila anak anda menagih dadah, anda menasihati anak anda tanpa anda kenakan caj.

Ini kerana anda berasa tindakan anda itu begitu penting, dan anda berasa bertanggungjawab, sehingga anda tidak sanggup meminta upah.

Anda adalah seorang sukarelawan. Anda memberi mesej secara percuma.

Saya menyebut "mesej" di sini, ini kerana tugas Rasulullah adalah memberi mesej seperti memberi peringatan dan khabar gembira.

Mesej adalah bersifat "intangible". Seseorang yang buta huruf tidak mendapat mesej dari coretan ini walaupun beliau membaca coretan ini. Coretan bersifat fizikal, namun, mesej itu sendiri bukan fizikal.

Sebab itu Firaun tidak dapat "menyentuh" mesej dari Musa, walau Firaun mempunyai mata dan telinga secara fizikal.

Dunia hari ini, apabila anak muda menyambung pelajaran dalam bidang agama, beliau memikirkan kerjaya agama suatu hari nanti bagi menyara hidup. Dalam erti kata lain, pemimpin Islam telah menjadikan sektor dakwah Islam sebagai satu industri "mencari makan".

Ironinya pemimpin Islam mengajar kita bahawa Nabi mencari rezeki dengan mengembala kambing dan berdagang, namun penyambung legasi baginda kelihatan bergantung harap kepada "penjualan agama" bagi menyambung kelangsungan hidup.

Wallahualam.