Saturday, 9 January 2010

Teman Hidup

"Jodoh di tangan Allah". Ungkapan ini adalah perkara biasa apabila kita bercakap tentang soal teman hidup. Berfikir tentang bakal isteri adalah agak popular di minda saya.

Begitu ramai perempuan-perempuan cantik fizikalnya, samada di tepi jalan atau di tengah jalan. Dalam erti kata lain, untuk mencari calon isteri yang cantik fizikalnya bukanlah perkara yang sukar, jika hanya itu sebagai sandaran.

Saya seorang yang sangat cerewet dalam hal ini. Rakan perempuan saya berkata "Jika mahukan perempuan yang baik, kamu juga perlu jadi yang baik". Ini mengingatkan saya pada Surah An Nur ayat 26.

Apabila saya soalkan diri saya "Kenapa kamu mahukan perempuan yang baik?" Saya menjawab "Kerana dalam al-Quran tiada dinyatakan agar orang yang beriman supaya berkahwin dengan perempuan jahat."

Ketika saya berada di Tingkatan Tiga, saya telah jatuh cinta kepada seorang wanita bernama Marit Larsen. Saya berkata kepada diri saya "That's my dream girl!". Dia juga menyanyikan lagu The Girl In Your Dream.

Ketika itu, perasaan cinta pada wanita tersebut membuatkan saya belajar Bahasa Inggeris lebih bersungguh-sungguh daripada biasa. Kenapa? Kerana ingin mengorat dia. "Takkanlah aku nak mengorat dia dengan menggunakan Bahasa Melayu?" Persoalan ini menguatkan diri saya kenapa saya perlu belajar Bahasa Inggeris.

Kemudian, minat saya kepada Bahasa Inggeris menjadi lebih daripada biasa. Alhamdulillah, dari seorang pelajar Bahasa Inggeris yang lemah, akhirnya saya mendapat A untuk subjek Bahasa Inggeris dalam Peperiksaan Menengah Rendah.

Kedengaran seperti saya telah melalui jalan yang kurang lurus. Ya, saya mengaku. Ketika itu saya berada di peringkat 'kejahilan'. Masih belum mengenal erti cinta kepada Allah dengan makna yang sebenar.

Itulah manusia. Melalui jalan pengetahuan secara berperingkat. Daripada penganut Kristian, lalu memeluk Islam. Daripada penganut Islam, lalu kemudiannya murtad setelah menyedari bahawa Islam ini 'ganas'.

Apabila saya melongkar kisah cinta manusiawi, saya mendapati ramai pasangan yang menghadapi masalah gara-gara kerana unsur kepura-puraan dan hipokrit pasangan mereka. Masing-masing mempunyai ciri-ciri idaman terhadap calon teman hidup. Apabila kepura-puraan itu terbongkar, maka di situlah muncul konflik pergeseran.

Bagi saya, lebih baik konflik itu muncul daripada kejujuran, sebagaimana berlaku apabila saya berdialog dengan pihak tertentu dalam isu agama. Dalam ilmu komunikasi, konflik adalah sesuatu yang penting dan amat berguna apabila disalurkan pada cara yang betul. Konflik mampu menghasilkan jawapan yang lebih tepat terhadap sesuatu persoalan.

Setakat pada hari ini, berikut adalah ciri-ciri asas bagi calon teman hidup saya;

Ambitious
Beautiful
Koranic
Modest
Patient

Pada mulanya saya meletakkan religious sebelum digantikan dengan Koranic. Ketika itu saya bertanya "Bagaimana pula dengan penganut agama lain yang religous?"

Saya masih boleh menerima mereka yang sebegitu dengan syarat mereka ikhlas untuk mencari kebenaran. Namun kemudiannya saya menukar kepada Koranic; lebih spesifik dan kurang 'kepura-puraan'.

Saya juga ada bertanya kepada diri saya "Bagaimana jika kamu tidak berjumpa dengan calon sebaik itu?" Saya menjawab "Kenapa saya perlu berkahwin dalam keadaan hipokrit?"


Ini mengingatkan saya kepada sebuah lagu kegemaran saya "Kucinta Apa Adanya Kamu" nyanyian Chelsea Olivia. Dalam lirik lagu tersebut bermaksud si pencinta menerima orang yang dicintai segala kelemahan dan kelebihannya.

Lirik tersebut menonjolkan beberapa perkara antaranya adalah keikhlasan. Saya tiada masalah dengan aspek ini. Tetapi bagaimana jika orang yang dicintai itu adalah seorang musyrik? Perompak bank? Perasuah dan sebagainya?

Chelsea sendiri, lakonannya dalam filem Bukan Bintang Biasa berkaitan lagu tersebut mengisahkan akhirnya dia menolak cinta kekasihnya kerana kekasihnya suka menipu (sebelum menerimanya kembali setelah kekasihnya itu insaf). Di sini kita dapat lihat ada unsur kepura-puraan oleh pembawa watak itu sendiri. Pada ketika itu, kekasihnya hairan, kerana selama ini Chelsea berpegang kepada prinsip 'terima seadanya' tetapi tidak dapat menerima dirinya yang pengebull.

Di sini kita lihat perlu ada satu tapisan dalam memilih calon teman hidup. Dan tapisan ini ditekankan dalam al-Quran contohnya seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 221;

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sehinggalah mereka beriman. Bagi seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada seorang perempuan musyrik walaupun jika dia membuatkan kamu tertarik. Dan janganlah kamu berkahwin dengan lelaki-lelaki musyrik sebelum mereka beriman. Bagi seorang hamba lelaki yang beriman itu lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun dia membuatkan kamu tertarik. Yang itu mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak ke Syurga dan keampunan dengan izinNya. Dia menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia, supaya mereka beringat.

Wallahualam.

No comments: