Sunday 8 December 2013

Wang

Perkara yang berpengaruh. Saya mahu menulis tentang benda ini. Di sini saya kisahkan dua kisah;

1) Ahmad, Wang dan Cinta

Ahmad, namanya cantik. Harapan ibunya memberi nama ini dengan harapan anaknya menjadi seorang yang terpuji. Umurnya sekarang 14 tahun. Bukan dari keluarga yang mewah. Suatu hari Ahmad ke bandar.

"Wangi sungguh bau Sampoerna itu." Bisiknya. Itu adalah kepulan zarah dari hembusan Ali, seorang rakannya. Ali tidak pernah mengatakan dia menganut fahaman Syiah.

"Nah, cubalah", kata Ali sambil menghulurkan batang yang masih panas. Terbatuk-batuk Ahmad dibuatnya.

"Mula-mula memang macam itu", kata Ali. Sejak itu Ahmad menemui cinta baru. Jika sebelum ini, rakan sekelasnya di sekolah rendah, Fatim, menolak cintanya, sekarang dia menemui cinta yang baru. Sebelum pulang ke rumah, Ahmad sempat membelikan dua kotak cintanya. Sebagai bekalan, katanya.

Sekarang, Ahmad, seorang pencinta batang, dengan tanggungan kos cinta lebih kurang RM40 sebulan tidak termasuk kos pengangkutan menaiki bas ke bandar.

2) Ahmad, Wang dan Cinta versi kedua

Ahmad, namanya cantik. Harapan ibunya memberi nama ini dengan harapan anaknya menjadi seorang yang terpuji. Umurnya sekarang 14 tahun. Bukan dari keluarga yang mewah. Suatu hari Ahmad ke bandar.

Seakan tidak percaya, Ahmad menemui Fatim, cinta lamanya ketika dia masih bersekolah rendah.

"Hai." Teguran Ahmad itu dibalas senyuman oleh Fatim. Bagai langkah kanan, hari itu hari bersejarah baginya. Fatim akhirnya sudi menjadi teman wanitanya. Benarlah kata pepatah, bisik Ahmad, bahawa "Usaha tangga kejayaan". Selepas dua kali lamarannya ditolak ketika di sekolah rendah, cubaannya ketiga membawa hasil.

"Ali, aku ada hal. Lain kalilah kita bertemu, ya?", sms Ahmad kepada rakannya yang mengajaknya bertemu. Ahmad membuat keputusan untuk mengubah tentatif aktiviti. Ini soal kebahagian dan masa depan, katanya.

Sekarang, Ahmad, seorang pencinta wanita, dengan tanggungan kos cinta lebih kurang RM40 sebulan belanja Fatim makan di KFC tidak termasuk kos pengangkutan menaiki bas ke bandar.

Wallahualam.

No comments: