Wednesday 5 January 2011

Anak Bhg. II

Bukan susah untuk mendapat berita-berita jenayah seperti ragut, kecurian, pembunuhan haram, penzinaan dan sebagainya. Kes-kes ini berulang sentiasa, bagai berulangnya siang dan malam.

Membesarkan anak melibatkan kos yang begitu besar, manusia yang dewasa dijangka memahami tentang perkara ini. Pengorbanan masa, wang, peluang, dan sebagainya.

Kita boleh lihat pada hari ini, pelbagai watak manusia yang wujud. Watak mana yang kita mahu anak kita jadi? Najib? Siti Nurhaliza? al-Qaradawi? Ini dikenali sebagai harapan ibubapa.

Harapan ini boleh jadi ditanam oleh pasangan ketika bercinta sebelum nikah, atau ketika melangkah ke alam pernikahan, atau jua ketika anak masih dalam kandungan dan sebagainya. Apabila anak membesar dewasa, anak bukan lagi 'rebung buluh'.

Maka berbaloikah jika semua pengorbanan itu menghasilkan seorang pencuri tegar?

Satu perkara yang berbaloi adalah mengajar anak al-Quran, samada dari segi tajwid mahupun bahasa. Jika ajaran menjadikan anak saya seperti anggota Jemaah Islamiah di Indonesia, ia tidak berbaloi. Jika ajaran menjadikan anak saya seperti al-Qaradawi, ia juga tidak berbaloi. Jika ajaran menjadikan anak saya seperti Yusuf Islam, itu lebih baik. Surah ar-Rahman ayat 1 hingga 2;

Ar-Rahman. Dia mengajar al-Quran.

Kalimah 'Islam' adalah sinonim dengan kesejahteraan. Manakala kalimah 'Iman' pula sinonim dengan keamanan. Dalam ajaran Sunni, ada satu konsep yang sering disebut-sebut, iaitu 'kesederhanaan'. Konsep ini antaranya adalah bagi menghalang penganutnya daripada menjadi pelampau agama. Ketika kes lukisan kartun Nabi Muhammad pada tempoh lalu, bagaimana sebahagian penganut Sunni begitu beremosi sehingga membakar bangunan tanpa hak bagi menunjuk perasaan. Mereka sudah menjadi pelampau agama.

Dalam al-Quran, ada disebut tentang kesederhanaan antaranya;

1) Ton bacaan al-Quran dalam Solat
2) Makan dan minum

Untuk menghalang dari menjadi pelampau agama, al-Quran mengajar tentang kesyukuran, kesabaran, kefahaman, menggunakan akal, memaafkan, merendah hati, berprasangka baik dan sebagainya.

Maka pengajian al-Quran adalah begitu kritikal kepada si kecil. Dan pengajian al-Quran seharusnya bersifat berterusan. Bukan sekadar terhenti setelah tamat belajar di sekolah agama, atau setelah mendapat segulung ijazah Pengajian Syariah, atau setelah bergelar Mufti. Mari kita perhatikan riwayat hadis berikut;

Sebaik-baik dari kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. (Riwayat Bukhari)

Sekian dahulu coretan.

Wallahualam.

No comments: