Monday 25 April 2011

Mentor Mentee

Ucapan Timbalan Ketua Program
Perasmian Program Mentor Mentee
Pada 25 April 2011, Di Dewan Teater KTB,
Setiu, Terengganu.

Para mentor yang dilantik bukan berdasarkan undian, tetapi adalah berdasarkan kelayakan mereka iaitu  mendapat pointer tertentu. Dalam Surah al-Baqarah ayat 247; menerangkan Bani Israel membantah pelantikan Talut sebagai komander dengan alasan mereka lebih layak berbanding Talut. Maka jawab Nabi; Allah telah memilihnya berbanding kamu dan meningkatkan kebolehannya dalam ilmu dan fizikal.


قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ


Pengajaran dari kisah ini adalah, apabila kita melantik seseorang, kita hendaklah melantik yang berkebolehan dengan tugasannya. Alhamdulillah, walaupun saya yang berucap pada petang ini, tetapi, mastermind bagi program mentor mentee ini sebenarnya adalah rakan saya, iaitu saudari Rabiatul Adawiyah binti Ahmad, selaku Exco Akademik dan Kerjaya nombor dua.


‘Mentor Mentee’ nama diberi. Nama bagi program ini sendiri, adalah melambangkan kebijaksanaan. Petikan Surah Az-Zukhruf ayat 32;


... Dan Kami meninggikan sebahagian daripada mereka di atas yang lain dalam kedudukan, agar mereka berkhidmat antara satu sama lain...


وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا 


Dalam program Mentor Mentee ini, kedudukan Mentor adalah lebih tinggi dari Mentee. Ini adalah kebijaksanaan. Dalam sesuatu organisasi, tidak kira samada sebesar syarikat korporat, atau sekecil program Mentor Mentee ini, perlunya ada dua kedudukan asas, iaitu yang tinggi dan yang lebih rendah. Tujuan pembahagian kedudukan ini adalah bagi melicinkan proses kerjasama.


Misi dalam program Mentor Mentee ini adalah untuk membantu Mentee dalam permasalahan pembelajaran.


Kita tahu ada pelajar yang perlu dibantu, secara individu atau face two face. Kalau kita tengok dalam dunia bisnes, ia umpama teknik jualan langsung, di mana, penjual bersemuka secara langsung dengan pelanggan, menunjukkan demonstrasi produk, dan sebagainya. Ini adalah kaedah alternatif bagi membantu pelajar selain daripada program motivasi dan sebagainya. Malah, Mentor itu sendiri, boleh menjadi pemotivasi kepada Mentee.


Dalam permasalahan pembelajaran tidak hanya melibatkan buku, nota dan sebagainya. Tetapi juga melibatkan perkara lain seperti masalah kewangan. Mentor boleh membantu Mentee dalam permasalahan kewangan dengan memaklumkan kepada kami, insyaallah, kami akan cuba membantu.


Kita ada dua Exco Kebajikan di sini, Saudara Muhamad bin Jaafar dan saudari Nor Azira binti Mat Lati yang ditugaskan untuk membantu para pelajar dari segi kewangan, insyaallah.


Antara nilai-nilai murni yang diharap dapat disematkan dalam program ini adalah;


1) Berkenalan


Jika sebelum ini, Mentor dan Mentee kurang mengenali antara satu sama lain, dengan program ini, diharap mereka akan lebih saling mengenali. Sebagaimana petikan Surah al-Hujurat ayat 13;


Wahai manusia, Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu kepada bangsa dan puak, supaya kamu boleh mengenal antara satu sama lain.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا 


Nilai murni yang lain pula adalah;


2) Bekerjasama ke arah kebaikan


Apabila Mentor membantu pelajar-pelajar lain yang lemah dalam subjek pelajaran tertentu maka ia satu adalah amalan baik. Dengan adanya program Mentor Mentee ini, diharap dapat memupuk para pelajar dalam mengerjakan amalan baik. Sebagaimana dalam petikan Surah al-Maidah ayat 2;


Bekerjasamalah dalam amalan baik dan ketaqwaan, dan janganlah bekerjasama dalam dosa dan kebencian.


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ


Sekian dahulu ucapan dari saya. Salamun alaikum warahmatullahiwabarakatuh.

No comments: