Friday 4 March 2011

Melayu dan Islam

"Antara syarat menjadi orang Melayu adalah beragama Islam. Oleh itu, orang Melayu adalah orang Islam. Menentang perjuangan Melayu bermakna menentang perjuangan Islam."

Ini antara umpama ayat yang menarik yang dapat saya 'kutip' dari kursus Biro Tatanegara pada hari yang lepas.

Ideologinya seperti rumus berikut;

orang Melayu = orang Islam

Kemudian dikembangkan kepada rumus berikut;

Menentang perjuangan Melayu = Menentang perjuangan Islam

Bagaimana pula dengan rumus berikut?;

Menentang perjuangan PAS = Menentang perjuangan Islam

Saya memahami kepentingan hak keistimewaan Melayu yang dicanang dalam kursus tersebut. Malah saya salah seorang Melayu yang mendapat manfaat dari hak keistimewaan Melayu.

Ini adalah kali kedua saya menghadiri kursus Biro Tatanegara. Namun, kali ini, unsur berkempen parti politik tertentu lebih kuat dari yang lepas. Mungkin tarikh pilihanraya umum yang dekat menjadi faktor kepada aspek ini.

Apabila kita berkata tentang Islam, ia satu topik yang begitu subjektif. Pada hari ini malah telah bermula sejak dulu lagi, pelbagai pihak menggunakan kalimah 'Islam'. Jika dikecualikan parti-parti politik mahupun organisasi kerajaan, kita masih ada mazhab-mazhab aqidah yang masing-masing menggunakan kalimah 'Islam'.

Sebagai contoh, puak Syiah menggunakan kalimah 'Islam', puak Sunni juga menggunakan kalimah 'Islam', maka apakah versi 'Islam' yang dibawa oleh kedua-dua pihak itu sama?

Oleh itu, sebagai seorang manusia yang dewasa, kita perlu melihat 'Islam' dari segi isinya, bukan dari segi kulit semata-mata.

Mari kita perhatikan peristiwa yang saya reka seperti berikut;

1) Seorang Melayu yang merompak bank, membunuh orang tak bersalah, merasuah, merogol, mencuri, kegiatan-kegiatan jenayah ini tidak menghilangkan perkataan 'Islam' pada kad pengenalannya.

2) "Pada kad pengenalan kamu ada perkataan 'Islam'. Kamu didapati bersalah kerana berzina."; kata seorang pegawai JAIS.

3) "Sembahyang adalah tiang agama. Namun jika kamu meninggalkan sembahyang selama 30 tahun berturut-turut, kamu masih beragama Islam. Yang penting kamu mengucap dua kalimah Syahadah."; kata seorang Ustaz.

4) "Islam versi kamu berbeza dengan Islam versi aku. Kamu telah murtad dan kafir. Kamu dijatuhkan hukuman bunuh."; kata seorang ketua agama.

5) "Ajaran mazhab Ahmadiyyah sesat lagi menyesatkan. Mari kita bakar masjid mereka."; kata seorang penganut Sunni di Indonesia.

Mari kita merenung pendefinisian perkataan 'Islam'. Wikipedia menerangkan ia bermaksud 'penyerahan diri kepada Allah'.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

No comments: