Perempuan bukan muhrim yang saya paling rindu sekarang adalah Ira. Dia tidaklah secantik 'Bidadari Dari Langit'. Itu adalah tajuk bagi sebuah lagu yang saya gubah pada tahun 2007.
Ini bukan soal kecantikan fizikal. Ini soal bila hati ini berasa rindu. Jika dia berkahwin dengan orang lain, atau jika dia adalah girlfriend orang sekalipun, berasa rindu padanya bukan bermakna kami ada skandal.
Namun bila pergi beraya ke rumahnya, saya mengalami kekeringan topik untuk berbual.
Menemui rakan-rakan sebaya sekolah menengah, masih ramai antara mereka masih belum menghabiskan pengajian. Ada yang terpaksa mengambil cuti semester kerana masalah kesihatan. Ada juga yang telah berkahwin walaupun belum menghabiskan pengajian.
Ya, ada juga yang sudah bekerja.
Ada juga yang baru sahaja bersanding, semalam. Ariff Husin. Kami bukanlah kenal sangat. Cuma, kawannya adalah kawan saya.
Beberapa jam lagi saya akan bertolak ke Terengganu. keprihatinan saya terhadap penggubahan lagu tidak seperti dahulu. Jika dahulu, bila ada saja ilham walaupun secebis melodi, saya lazimnya akan menulis atau merekodnya. Tetapi pada hari ini, saya lebih malas. Sekarang ia lebih cenderung sekadar disimpan dalam memori di otak.
Saya mula kekeringan ilham untuk meneruskan coretan ini dan memasang sebuah lagu priceless, 'Tak Bisa Memilihmu' dari Sixth Sense. Bila melayan lagu ini, lazimnya saya akan teringat kepada Farah, si pemain Cello. Semuanya gara-gara kerana saya terdengar lagu tersebut ketika kami dalam usaha untuk menyiapkan assignment suatu ketika dahulu.
Ketika itu, lagu tersebut begitu menarik perhatian saya. Ini antara sebab kenapa saya suka Indonesia, kerana muziknya. Sixth Sense, mungkin band itu dikatakan band Malaysia, namun lagu itu ada Indonesia punya touch.
Mungkin sejak akhir-akhir ini sebahagian orang Indon mengamuk memarahi Malaysia. Saya sudah berumur 24 tahun, saya tahu, saya sudah dewasa. Nationalism dan muzik adalah dua perkara yang berbeza.
Dikala saya membelek Facebook Farah, kelihatan banyak perkataan 'takziah'. Ada sesuatu yang tidak kena.
"Mak dia meninggal."
Ayat ini memberi saya klu tentang apa yang terjadi. Mari kita perhatikan petikan Surah al-Baqarah ayat 156;
... Sesungguhnya kita kepada Allah, dan sesungguhnya kepadaNya kita akan kembali.
Jam menunjukkan kurang 15 minit sebelum jam tiga. Saya mahu tidur.
Sekian dahulu coretan.
Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment