Saturday, 30 August 2025

Hadis Bhg. XXI

Anda tidak akan memahami hadis dengan berkualiti tinggi jika anda tidak menggunakan akal. Ini bermakna secara amnya golongan mutazilah lebih memahami hadis berbanding golongan Sunni mahupun Syiah.

Fakta ini pedih dan menyucuk ego Sunni mahupun Syiah. Sebab itu anda mendapati di Malaysia, kebanyakan penglipur-lara adalah dari kalangan Sunni.

Penglipur-lara tidak perlu memahami hadis, sebaliknya perlukan riwayat yang "ajaib" bagi pendengar. Oleh sebab itu Salafi mahu membersihkan imej hadis dengan menentang penglipur-lara. Walaubagaimanapun ini tidak menjamin kualiti pemahaman hadis dari Salafi.

Tabiat buruk Salafi adalah memandang rendah kepada perkara matan hadis kerana terlalu fokus dengan perkara sanad. Kesannya sanad "kukuh" akan tetapi matan hadis bermasalah. Perjuangan "sanad" ini menjadi antara faktor utama penentangan Salafi terhadap golongan anti-hadis.

Bagi masyarakat majmuk sebegini di Malaysia, liberalisma dan pluralisma menjadi solusi.

Wallahualam.

Friday, 25 July 2025

Hadis Bhg. XX

Jika anda bergelumang dengan al-Quran pagi dan petang, atau anda pakar Quran dari segi tajwid, bahasa Arab, tadabbur atau sebagainya, anda adalah Quranis.

Jika anda seorang anti-hadis, mungkin anda Quranis juga tapi belum tentu.

Jika anda seorang anti-hadis yang tak tahu Quran, anda bukan Quranis.

Quranis bermaksud ahli-Quran, seseorang yang berkait dengan Quran secara dekat dalam aspek tertentu.

Menjadi anti-hadis tidak mewajibkan anda menjadi Quranis.

Sebab kenapa manusia gagal membezakan antara Quranis dan anti-hadis adalah kerana mereka tenggelam dalam naratif politik teologi.

Pemimpin Sunnah tidak menerima jenama Quranis kerana mereka setia dengan jenama Ahli Sunnah. Bahkan mereka bergaduh sesama sendiri siapa yang terpaling Sunnah.

Jika anda selalu dengan kubur, orang Arab gelarkan anda Quburiyyun.

Jika anda selalu dengan Quran, orang Arab gelarkan anda Quraniyyun.

Apabila pemimpin Sunnah menolak hadis tertentu, pemimpin Sunnah tidak pula gelarkan diri sebagai anti-hadis. Namun bila Quranis menolak hadis tertentu maka Quranis digelar sebagai anti-hadis.

Manakala apabila Quranis menerima hadis tertentu tidak pula Quranis digelar sebagai pro-hadis.

Saya menyeru anda membuka minda dan bukan sekadar main-main ikut naratif permainan politik atau sentimen.

Wallahualam.

Saturday, 28 June 2025

Hadis Bhg. XIX

Membuat konklusi yang salah berkenaan status hadis. Ini kesilapan biasa dilakukan oleh pemimpin Sunnah.

Saya tahu pemimpin Sunnah adalah egoistik. Kritikan terhadap mereka akan menyebabkan saya dilabel "anti hadis" atau "musuh Islam".

Kegagalan untuk mendengar maklum balas adalah antara punca pemimpin Sunnah terkebelakang dalam ilmu hadis.

Pemimpin Sunnah lazimnya cerdik hadis. Cerdik hadis bermaksud mereka mempunyai kapasiti untuk membaca dan meneliti hadis. Malangnya akhirnya mereka membuat konklusi yang salah berkenaan hadis tersebut.

Ini yang membezakan antara "cerdik hadis" dan bijak hadis".

Dan selagi mereka angkuh untuk tidak mendengar maklumbalas dari pemikir hadis, mereka terus akan bergelumang dalam kebodohan hadis.

Sukar bagi kebanyakan manusia untuk mengorban ego diri. Bahkan sijil PhD yang digenggam bukan kerana cintakan ilmu sebaliknya kerana mengejar jawatan dan tangga gaji.

Wallahualam.

Thursday, 22 May 2025

Hadis Bhg. XVIII

Yang dinamakan "sains hadis" itu bukanlah sains, tetapi sejarah.

Ini adalah salah satu kelemahan disiplin hadis dari pemimpin Sunni mahupun Syiah. Akibatnya mereka bergaduh sesama sendiri.

Langkah awal penyelesaiannya simpel sahaja, iaitu namakan sains sebagai "sains" dan namakan sejarah sebagai "sejarah".

Orang awam salah faham kononnya Kassim Ahmad mempunyai ramai pengikut.

Sebenarnya Kassim Ahmad diterima kerana pemimpin-pemimpin hadis lemah dalam disiplin hadis.

Pemimpin hadis menyalahkan Kassim Ahmad atas kelemahan mereka sendiri.

Oleh kerana orang awam naif dalam dunia hadis, mereka menyangka pemimpin mereka begitu hebat dalam bidang hadis.

Realitinya bidang hadis begitu luas dan pemimpin mereka hebat dalam juzuk tertentu sahaja.

Bahkan pemimpin mereka sebenarnya kuli pemerintah yang takut untuk menegur Permaisuri tidak bertudung.

Pemimpin mereka lebih berani menegur artis-artis wanita yang tidak bertudung.

Pemimpin mereka suka terpekik-pekik dalam masjid berceramah gaya Hang Jebat.

Kini mereka dalam proses melantik ketua agama baru. Calon ketua agama ini sibuk dengan bolasepak sebagai persediaan untuk memimpin Ahli Sunnah wal Jamaah.

Wallahualam.

Wednesday, 30 April 2025

Agama Bhg. XV

Sebagai seorang pengkritik "Sunnah" yang belum ditangkap pihak berkuasa, di sini saya berikan tips bagaimana untuk tidak ditangkap atas tuduhan ajaran sesat.

1) Duit

Jika gerakan organisasi anda berorientasikan duit, lebih keberangkalian untuk anda ditangkap. Ini yang berlaku kepada al-Arqam mahupun GISB.

2) Kuasa

Jika gerakan organisasi anda berorientasikan kuasa, lebih keberangkalian untuk anda ditangkap. Ini yang berlaku dalam Tragedi Memali dimana PAS mahu merampas kuasa dari "UMNO kafir".

3) Wasatiyyah

Sebahagian agamawan memandang rendah terhadap Wasatiyyah. Bagi mereka, Wasatiyyah adalah anti-jihad. Contohnya al-Maunah.

"Kenapa perlu berlembut dengan golongan kafir?"

4) Khilaf

Khilaf dalam perkara Muhkamat akan menarik perhatian jabatan agama seperti mempertikai kewajipan Solat dan sebagainya.

Manakala khilaf dalam perkara Gharar, sukar untuk jabatan agama menangkap anda kerana perbahasan yang panjang.

5) Sultan

Jika pemikiran anda mendapat restu Sultan, sukar jabatan agama untuk menangkap anda. Ini kerana pegawai agama sebenarnya adalah kuli Sultan.

Ini yang berlaku di Perlis dalam polemik "Wahabi".

6) Peratusan

Jika jabatan agama melihat anda sesat 10% sahaja, mereka cenderung untuk tidak menangkap anda.

Semakin tinggi peratusan kesesatan anda di mata jabatan agama, semakin tinggi keberangkalian anda ditangkap.

Ini yang berlaku kepada "Millah Ibrahim".

7) Terkenal

Semakin anda terkenal, semakin kebarangkalian anda ditangkap. Ini yang berlaku kepada "Rasul Melayu".

Ini kerana semakin anda terkenal, semakin ia memberi kesan kepada kestabilan negara.

8) Rai

Jika anda tidak meraikan kebaikan jabatan agama, semakin kebarangkalian anda akan ditangkap. 

Walaupun jabatan agama mempunyai banyak kelemahan, tetapi mereka mempunyai banyak kekuatan jua.

9) Serangan

Jika anda suka menyerang jabatan agama tanpa sebab yang munasabah, lebih kebarangkalian anda untuk ditangkap.

10) Diplomasi

Kemahiran berdiplomasi ditunjukkan oleh Ahmadiyyah di negara ini. Mereka memiliki masjid sendiri dan versi sembahyang Jumaat sendiri.

11) Dalil

Mengemukakan dalil sahaja tidak cukup. Sebagai contoh seperti watak Walid dalam drama Bidaah. Jabatan agama melihat kefahaman anda jua.

12) Bernas

Ini adalah senjata ampuh. Allah memberikan kita akal untuk mengemukakan dan menerima hujah bernas.

Wallahualam.

Monday, 24 March 2025

Hadis Bhg. XVII

Jika anda mengajak umat Islam untuk tadabbur al-Quran, mereka yang datang adalah "golongan anti hadis", manakala ahli Sunnah melarikan diri.

Ini kerana bagi ahli Sunnah, hadis menerangkan al-Quran. Ketiadaan hadis bermakna sesi tadabbur itu sesat dan menyesatkan. Bagi mereka, sepatutnya tadabbur itu merangkumi al-Quran dan Hadis.

Oleh kerana anda tadabbur al-Quran bersama "golongan anti hadis", anda kemudiannya dicop sebagai sebahagian dari anti-hadis.

Selepas itu ahli Sunnah kemudiannya akan menuduh anda tidak sembahyang dengan hujah bahawa mustahil sembahyang tanpa hadis.

Kemudian ahli Sunnah akan berpolitik dengan menyebarkan gosip lalu mengutuk anda secara berjemaah.

Lalu ahli Sunnah tidak mahu memandikan mayat anda jika anda meninggal dunia.

"Hadis menerangkan tatacara memandikan jenazah".

Akhirnya ia menjadi politik kotor dan anda dapat melihat sisi gelap ahli Sunnah.

Tanggungjawab untuk tadabbur al-Quran seakan tidak penting bagi ahli Sunnah. Bagi mereka, yang penting mereka membaca al-Quran untuk ganjaran pahala.

Atau menghafal untuk ganjaran Syurga.

Atau menyanyi al-Quran untuk ganjaran halwa telinga.

Tiada kepentingan untuk mereka memahami al-Quran. Ini kerana mereka sudah ada imam-imam muktabar sebagai sumber kefahaman mereka.

Orang awam Sunnah pula sudah ada parti politik Islam dan jabatan Islam untuk menjamin kejayaan Akhirat mereka.

"Kenapa perlu buang masa memahami al-Quran?"

Wallahualam.

Thursday, 30 January 2025

Azhar

Kian meningkat dewasa, jarang saya kongsikan kisah peribadi.

Ketika awal remaja dulu, ibubapa saya mahu menghantar saya ke Universiti al Azhar antara sebabnya kerana ketika kecil saya seorang ulat buku agama.

Secara kebetulan saya membesar di rumah nenek yang menjadi longgokan buku-buku agama dari saudara-mara.

Ketika sekolah rendah saya sudah belajar tangkal azimat. Bahkan ketika peperiksaan UPSR, saya minum air rendaman ayat al-Quran yang sebenarnya adalah kertas dan dakwat pen.

Bukg sufisme membawa minda saya ke dunia mistik. Ada juga buku yang membuatkan saya mempersoal kewujudan Tuhan. Ada juga buku yang mahu mengheret saya ke arah penyakit "gila isim".

Ibubapa saya mencadangkan saya dijaga oleh pakcik saya yang bersijil PhD agama bagi membentuk saya menjadi seorang ulama.

Seorang lagi pakcik pula banyak menghadiahkan saya banyak buku sirah Nabi.

Apabila menyambung belajar di sekolah menengah agama, saya mendapati banyak kelemahan dari ajaran para ustaz. Silibus sekolah datang dari Universiti al-Azhar. 

Sebab itu, bila datang cadangan supaya saya menyambung ke Universiti al-Azhar, dengan mudah saya menolaknya.

Maka bukanlah pelik apabila saya meningkat remaja saya mula berkonflik dengan dua pakcik agamawan itu, bahkan ia berlarutan sehingga keduanya meninggal dunia. Keduanya lepasan al-Azhar.

Nampaknya, saya tidak sebulu dengan Azhar.

Wallahualam.