Sunday, 5 December 2010

Malaysia

Musim pilihanraya akan datang lagi, mungkin tidak sampai setahun dari hari ini. Isu kenaikan harga minyak kembali lagi. Ada yang tidak suka, ada pula yang berpendapat it's ok, kerana harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada harga minyak di negara-negara lain yang tertentu.

Kenaikan harga barang, jika perlu, ia sepatutnya seiring dengan pembasmian kemiskinan. Orang-orang miskin mempunyai potensi besar, sebagaimana potensi yang dimiliki orang pertengahan dan orang kaya. Potensi yang dimaksudkan itu adalah otak.

Bayangkan jika penduduk fakir miskin diberi pendidikan percuma pada 50 tahun lepas, mungkin pada hari ini, mereka sudah memiliki PhD dan sebagainya, seterusnya dengan harapan menjadikan pembangunan negara lebih produktif.

Isu Ketuanan Melayu timbul lagi. Seorang pemimpin PAS mengatakan, apa gunanya Ketuanan Melayu jika negara diperintah oleh pencuri?

Sebagai seorang Melayu, saya memahami perasaan mereka yang menyokong Ketuanan Melayu. Lihat saja bagaimana kaum Cina lebih kehadapan dalam bidang bisnes dan kewangan, apatahlagi kalimah 'Malaysia' sendiri digubah dari perkataan 'Melayu'.

Isu ini melibatkan isi dan kulit. Kulitnya adalah 'Ketuanan Melayu' manakala isinya adalah pelaksanaan dasar dan falsafah yang diwar-warkan. Dari sudut kulit, perkataan 'ketuanan' itu menggambarkan situasi yang negatif, memandangkan kita sesama kaum diibaratkan sebagai abang, kakak dan adik.

Itu dari sudut kulit. Kulit memainkan peranan penting kerana ia melibatkan ciri penjenamaan. Sebagai contoh, jika saya menjual produk makanan jenama 'Tahi', maka kemungkinan orang tidak mahu membelinya kerana berasa ia sebagai sesuatu yang kotor.

Kalimah 'Ketuanan Melayu', walaupun jika isinya baik, tetapi saya menjangkakan ia dipandang serong oleh kaum-kaum lain. Bukan kerana isinya yang kurang baik, tapi kerana isu penjenamaan. Saya pernah mencoret tentang isu penjenamaan sebelum ini, sila rujuk; http://ariji86.blogspot.com/2010/08/mazhab-sunni-bhg-iii.html

Tentang 'hak keistimewaan Melayu' seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya pula, saya percaya Malaysia mampu memberi pendidikan dan kelengkapan belajar secara percuma kepada semua kaum sekurang-kurangnya hingga ke tahap SPM. Dengan ini, ibubapa sudah boleh mula menfokuskan dana pendidikan untuk ke peringkat institusi yang lebih tinggi, ketika anak mereka sedang belajar di sekolah.

Sistem biasiswa pula sememangnya popular di seluruh dunia. Sistem ini perlu dipertahankan. Ini kerana, mesin  sebesar mana pun di kilang, ia tidak boleh beroperasi dengan betul tanpa orang yang mahir mengendalikannya.

Negara dikatakan mengalami defisit ketika ini, saya memahami keadaan ini. Tiada bos yang mahu syarikatnya mengalami defisit melainkan dengan harapan mendapat hasil yang diingini di masa hadapan. Kejayaan ini bergantung kepada strategi apa yang digunakan oleh para pengurus atasan syarikat.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

1 comment:

Ahmad Aliff Yusof said...

kalau semua orang ada PhD atau pendidikan percuma sekalipun, ia tidak menjadikan semua rakyat sesebuah negara itu berilmu. bila semua orang jadi pandai, siapa yang pandai?b