Sunday, 20 February 2011

Quranwiki Bhg. III

Terjemahan al-Quran saya di Wikipedia telah dihapuskan oleh seorang penyelia Wiki yang dikenali sebagai Yosri. Oleh itu, saya bercadang untuk kembali ke Quranwiki. Bak kata pepatah;

"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri."

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Quranwiki Bhg. II

Terjemahan al-Quran yang saya usahakan dipindah ke http://ms.wikipedia.org/wiki/Terjemahan_al-Quran_oleh_Ariji

Antara faktor pepindahan;

1) Quranwiki tidak mengkhususkan Bahasa Melayu

Ini membuat saya serba salah untuk membuat pautan dalam Bahasa Melayu.

Namun, Quranwiki telah menjadi penggerak kepada saya untuk menjadi penyunting wiki. Buat kali pertama saya menjadi penyunting wiki dalam hidup saya.

Kelebihan penyuntingan wiki adalah ia mempunyai rekod sejarah yang sistematik dan bersifat permanent.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Friday, 18 February 2011

Quranwiki

Mula menulis terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu di Quranwiki. Sila rujuk; http://www.quranwiki.net/index.php?title=Malay_Quran_translation_by_Ariji

Laman web Quranwiki menarik perhatian saya. Semoga laman web ini menjadi antara pemankin kepada mereka yang berminat dengan al-Quran.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Penyembah Nabi dan Akal

Surah at-Tahrim ayat 1;

Wahai Nabi, kenapa kamu haramkan yang dihalalkan Allah untukmu, mencari keredhaan isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.

Golongan yang menyembah Nabi Muhammad boleh jadi tidak dapat menerima hakikat ayat ini. Bagi mereka, Nabi Muhammad mempunyai 'lesen' untuk mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

"Nabi Muhammad diberi autoriti besar untuk menghalalkan apa yang Allah haramkan, dan mengharamkan apa yang Allah halalkan."

Mereka mahukan seorang Nabi yang luar dari kapasiti seorang manusia, mungkin yang mempunyai tenaga seks 30 lelaki, mungkin juga sehebat Malaikat.

Lebih dari itu, seorang Nabi yang mempunyai 'lesen' untuk melanggar perintah Allah. Jika Adam mempunyai 'lesen' itu, boleh jadi baginda masih berada di Syurga pada hari ini.

"Jangan gunakan akal."

Ini antara umpama hujah popular mereka apabila berdialog. Ya, mereka yang menggunakan akal belum tentu betul dalam segala isu. Namun sekurang-kurangnya mereka menjalankan keperibadian seorang manusia.

Seseorang yang tidak pandai mengira tetapi menggunakan akal, boleh jadi dia memberikan jawapan 55 apabila disoal berapakah 5+5. Jawapannya salah, namun sekurang-kurangnya dia menggunakan akal. Sekurang-kurangnya dia tidak memberi jawapan 0.

Jika anda mengambil nombor '5' dan diletakkan sebelah nombor '5', maka ia akan menjadi '55'.

Sila lihat dua ayat di bawah dan lihat persamaan;

"Jangan gunakan akal."

"Jadilah binatang."

Dikala mereka memanggil Israel sebagai binatang, di samping itu mereka menyeru manusia agar menjadi binatang?

Antara penyesalan ahli Neraka adalah kerana gagal memanfaatkan penggunaan akal, Surah al-Mulk  ayat 10;

Dan mereka berkata: "Jika kami telah mendengar atau mengakal, kami tidak akan menjadi antara peneman Bakaran."

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Thursday, 10 February 2011

Buku Bhg. II

Pada minggu lepas, saya telah membeli tujuh buah buku, iaitu;

1) 100 Kisah Benar Islamik

Tajuk di atas boleh jadi bukan tajuk yang sebenar. Saya telah kurang ingat tajuknya yang sebenar. Buku itu telah diberikan kepada Jue pada majlis perkahwinannya pada hari Khamis lepas. Editor buku itu mendapat ilham daripada buku bertajuk 'Chicken Soup for The Soul'. Buku '100 Kisah Benar Islamik' memaparkan tulisan dari ramai penulis.

Excuse me Jue, jika balutan hadiah itu bersifat amatur. Saya berada dalam keadaan 'nak cepat' semasa membungkusnya gara-gara kawan sedang menunggu. Ketika hari itu juga saya pergi mencari beg kertas, dimana kebanyakan kedai tutup kerana Hari Raya Cina. Bagai dirancang, ada satu kedai yang buka, iaitu kedai runcit institusi pengajian saya. Ketika itu saya tidak menjangkakan kedai itu menjual pembalut hadiah, kerana kedai itu berada dalam keadaan kekuranglengkapan jualan alatan tulis.

"Sailortape!"

Apabila berada di bilik, saya menyedari terlupa membeli sailortape.  Saya telah merancang untuk menggunakan beg kertas, dimana tidak memerlukan penggunaan sailortape. Ini berbeza dengan balutan hadiah. Bagai dirancang, ada doubletape nipis peninggalan ahli rumah yang menghuni bilik ini pada penggal pertama tahun lepas. Malah, masih banyak barang peninggalan di bawah katil. Saya belum membuangnya.

2) Halal Haram Tanggungjawab Bersama

Buku ini mungkin sambungan dari buku yang bertajuk 'Halal Haram'. Buku 'Halal Haram' boleh jadi ditulis oleh pengguna produk edaran syarikat HPA. Buku 'Halal Haram Tanggungjawab Bersama' memaparkan antara berita-berita pada tahun 2010 tentang isu halal dan haram pemakanan dan diulas dari perspektif al-Quran dan riwayat hadis. Buku ini tiada nama syarikat penerbitan dan boleh jadi diterbit secara amatur.

Buku ini dijual di kaunter pembayaran. Saya membeli buku ini secara spontan dalam keadaan 'nak cepat' ketika berada di kaunter pembayaran bagi membayar harga buku no. 1).

Antara faktor saya membeli buku ini adalah kerana isunya ada kaitan dengan thesis yang sedang saya usahakan sekarang.

3) Bibir Tersenyum Hati Menangis

Saya membeli buku ini untuk dihadiahkan kepada Hani sebagai hadiah harijadi. Antara faktor saya memilih buku ini adalah bagi mempromosikan al-Quran.

Buku ini mempunyai unsur ajaran Sunni.

4) Remaja Kreatif Luar Biasa

Saya membeli buku ini untuk dihadiahkan kepada Fatim sebagai hadiah harijadi. Saya sayangkan Fatim. Saya tahu, buku ini sebuah buku yang baik. Saya merasakan pembacaan buku ini baik bagi perkembangan otak pembaca, dan gaya bahasa yang digunakan dalam buku ini ringkas dan sesuai untuk remaja.

Fatim pernah membeli sebuah buku bertajuk 'Pemilik Cintaku Selepas Allah dan Rasul.' Buku itu mempromosikan konsep 'katakan tidak kepada bercinta sebelum kahwin' dan mempunyai unsur ajaran Sunni.

5) Saya Remaja Inovatif

Buku ini saya beli, juga untuk dihadiahkan kepada Fatim sebagai hadiah harijadi. Buku ini juga sebuah buku yang baik dan tahap pembacaannya sesuai untuk remaja. Saya merasakan buku ini baik untuk perkembangan minda Fatim.

6) Kaya Dengan Rumah

Apabila pergi ke kedai buku, lazimnya saya akan singgah melihat buku-buku yang berkaitan dengan dunia perniagaan atau pengurusan. Saya membeli buku ini untuk diri sendiri. Tujuan saya membeli buku ini adalah untuk menyelami pengalaman seseorang dalam bidang pelaburan hartanah.

7) Motivasi Alihan Pelajar gaya Smart Study

"Ini buku yang bagus."

Kata seorang lelaki yang tidak dikenali umurnya mungkin  dalam 30an, ketika saya membelek satu dari himpunan buku yang bertajuk itu. Beliau juga membelek buku yang bertajuk sama.

Pujian itu bukan faktor utama kenapa saya membeli buku ini. Saya suka menjadi seorang pelajar, walaupun prestasi akademik saya boleh jadi kurang konsisten.

Buku ini tentang pembelajaran. Tugas belajar adalah sinonim dengan keperibadian seorang mukmin.

Buku no. 6) dan 7), boleh jadi saya tidak punya banyak masa untuk membacanya dalam jangka masa terdekat, kerana sibuk dengan akademik dan aktiviti lain. Waktu cuti panjang selepas final exam boleh jadi masa yang sesuai untuk 'menyelami' kedua-dua buku ini.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Sunday, 30 January 2011

Tidur

Surah an-Naba' ayat 78;

Dan Kami jadikan tidur kamu untuk rehat.

Waktu tidur memerlukan rasa selamat. Bolehjadi kita tidak mahu tidur dikala pintu rumah tidak dikunci gara-gara kejadian pecah rumah yang semakin menjadi-jadi.

Ini berbeza jika kita tinggal di kawasan yang sejahtera dan aman dimana tiada kejadian pecah rumah, maka jika dibiarkan kenderaan beserta kunci kenderaan di luar rumah juga berasa tidak bimbang. Satu hipotesis boleh dibuat dalam kes ini;

Perasaan tidak selamat dan tidak aman membawa kepada perasaan bimbang.

Seseorang yang banyak melakukan maksiat, dan apabila dia mengingati Allah, bolehjadi berasa bimbang akan dosa-dosanya. Perasaan Ini lahir daripada perasaan tidak selamat akan balasan Allah di hari pengadilan, iaitu Hari Akhirat.

Ini antara kesan bagaimana keimanan terhadap Hari Akhirat adalah syarat wajib sebagai muslim. Surah al-Baqarah ayat 62;

Orang-orang yang beriman, Yahudi, Nasrani dan Sabian, sesiapa yang beriman akan Allah dan Hari Akhirat dan melakukan apa yang baik, akan menerima anugerah dari Tuhan mereka. Tiada ketakutan ke atas mereka dan mereka tidak akan dukacita.

Waktu bilakah sesuai untuk tidur? Petikan Surah ar-Rum ayat 23;

Dan dari tandaNya adalah tidur kamu pada malam dan siang...

Ayat ini menerangkan bahawa malam atau siang, kedua-duanya halal untuk tidur.

Ketika tidur, kita bermimpi. Namun, mimpi tidak semestinya menggambarkan realiti. Nabi Ibrahim pernah melakukan kesilapan dalam kes ini apabila cuba membunuh anaknya setelah bermimpi. Baginda sangkakan mimpi itu memberi mesej dari Allah agar membunuh anaknya. Peristiwa ini memberi pengajaran bagaimana kesilapan mengenalpasti mesej mana dari Allah boleh membawa padah.

Nabi Ibrahim setelah bermimpi itu, kemudiannya bermusyawarah dengan anaknya. Anaknya bersetuju agar dirinya dibunuh. Peristiwa ini memberi pengajaran tentang fleksibeliti dalam 'berhijrah' ke arah kebenaran. Sebagai contoh, jika berzina itu halal, maka halallah. Jika berzina itu haram, maka haramlah. Berserah diri kepada Allah.

Mimpi bersifat data dan falsafah. Sebagai contoh, jika seseorang itu memberitahu kekasihnya umpama bulan purnama, maka maksudnya bolehjadi;

1) Kekasihnya cantik
2) kekasihnya bulat
3) Kekasihnya cantik atau bulat
4) kekasihnya cantik dan bulat

Keadaan ketika kita tidur juga menggambarkan keadaan peringkat awal apabila kita mati, iaitu tidak sedarkan diri.

Maka mengagong-agongkan Nabi Muhammad, Ali, mahupun 'imam-imam muktabar' setaraf atau lebih tinggi dari Allah adalah tidak relevan, kerana mereka semua pernah tidur, dan Allah tidak tidur.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Tuesday, 25 January 2011

Pantun Bhg. II

Ariji makan aiskrim,
Fatim minum kopi;
Ariji rindu Fatim,
Fatim rindu Ariji?

Bila menggubah pantun, ada baiknya jika direkodkan. Pantun-pantun yang saya gubah 'masa muda-muda' dulu hilang entah ke mana.

Begitu juga bila menggubah lagu.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Sunday, 23 January 2011

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu

Surah al-Alaq ayat 1;

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta.

Ayat ini dipercayai ayat al-Quran pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Namun ajaran Sunni dan Syiah gagal menyerlahkan kebenaran ayat ini.

Semuanya kerana gara-gara sifat penyembahan terhadap makhluk.

Wabak penyembahan makhluk dalam ajaran agama bukan perkara baru. Sejarah mengajar kita bagaimana antara ajaran Kristian menyeru kepada penyembahan Nabi Isa, dan ajaran ini berlarutan sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan ajaran agama lain seperti Hindu, menyeru kepada penyembahan patung-patung. Al-Quran pula ada menerangkan bagaimana manusia pernah menyembah makhluk seperti Matahari dan Bulan.

Jika kita lihat modal yang digunakan dalam ajaran Syiah, ia menggunakan kalimah 'Ali'. Ali digambarkan sebagai seorang superpower. Nabi Muhammad kononnya mahukan Ali sebagai khalifah pertama, dan sesiapa yang tidak bersetuju dengan permintaan baginda yang ini, dikatakan mengengkari perintah Rasul. Maka tidak hairan jika ada ajaran Syiah yang mengkafirkan Abu Bakar mahupun Omar al-Khattab.

Dari ajaran Sunni pula, kalimah 'Muhammad' pula digunakan. Memakai jubah, berserban, menyimpan janggut dan menaiki unta dikatakan sunat. Hakikatnya, musuh Nabi Muhammad pada zaman baginda, mereka memakai jubah, berserban, menyimpan janggut dan menaiki unta jua.

Mereka melakukan semua itu kerana itu adalah tradisi ketika itu. Jika Nabi Muhammad seorang Melayu, boleh jadi baginda memakai baju Melayu pula. Dan jika kereta telah wujud ketika itu, boleh jadi baginda memandu kereta jua.

Bayangkan seorang penganut Kristian yang menyembah Nabi Isa. Kemudian dia terdengar kemerduan bacaan ayat al-Quran lalu masuk Islam. Kemudian dia menyembah Nabi Muhammad pula? Maka apa beza ketika dia menganut Kristian sebelum itu?

Maka realitinya, wujudnya umat Islam yang menyembah Nabi Muhammad. Ajaran dan teori hasil dari wabak ini kemudian diperturunkan kepada generasi berikutnya sehingga ke hari ini.

"Al-Quran tidak akan difahami tanpa riwayat hadis. Bagaimana untuk Solat, Haji, Zakat dan sebagainya tanpa penerangan dari Nabi Muhammad?"

Kemudian mereka menggantikan al-Quran dengan kitab lain. Mereka terlepas pandang Surah al-Alaq ayat 1; 'Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta.'

Ya, baca al-Quran dengan nama Tuhanmu. Bukan dengan nama Nabimu, mahupun Sayyidmu.

Sekian dahulu coretan.

Wallahualam.

Sunday, 16 January 2011

Aku Bukan Siapa Bhg. III

Saya menggubah lagu ini dalam pertengahan tahun lepas. Kredit kepada Warner Music Group atas susunan genre.

"Berikan saya masa."

Ini jawapan yang diberikan Fatim dua hari lepas, selepas saya mengajaknya couple. Ini mengingatkan saya kepada lagu 'Don't Say You Love Me' nyanyian M2M.

"If you really love me, then give me some time."

Ini ayat lirik dalam lagu tersebut. Namun tajuk lagunya memberikan jawapan yang nyata.

Berbalik kepada isu pertama di atas. Dalam video ini, pada durasi dari 21 hingga ke 22 saat, berlaku error. Namun, untuk melakukan voice recording sekali lagi bagi lagu ini, bukan pilihan saya untuk jangka masa pendek. Lagu ini saya tujukan kepada Fatim.

Saya mempunyai dua pilihan apabila menggubah lagu, samada berterus terang kepada siapa lagu itu ditujukan, atau sekadar berahsia.



Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Thursday, 13 January 2011

Halal Toyyib dan Persaingan

Sebahagian pengeluar cuba melakukan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Namun, ia belum menjamin hasil jualan yang diingini.

Mari kita perhatikan Surah al-Baqarah ayat 168;

Wahai manusia, makanlah dari apa di Bumi yang halal dan toyyib, dan janganlah ikut langkah Setan, sesungguhnya dia bagi kamu musuh yang jelas.

Ayat ini antaranya menerangkan dua kriteria iaitu;

1) Halal
2) Toyyib

Andaikan anda pergi ke kedai untuk membeli beras. Kedai itu menawarkan pelbagai jenis beras, dan anda perlu membuat pilihan. Dari lima jenis beras yang ditawarkan, satu jenis dicampur dengan unsur daging babi. Pendek cerita, hanya empat yang memenuhi kriteria pertama. Dari empat beras itu pula patut melalui tahap kedua pula, iaitu kriteria toyyib.

Gelagat seumpama ini bukan saja berlaku kepada makanan, malah juga produk lain seperti kenderaan dan dari perspektif yang berbeza jua. Jika anda bercadang untuk membeli kenderaan yang boleh membawa lima orang, maka pilihan kenderaan jenis motosikal akan ditolak awal-awal.

Surah al-Baqarah ayat 168 juga menerangkan situasi yang sebaliknya melalui ayat '...dan janganlah ikut langkah Setan, sesungguhnya dia bagi kamu musuh yang jelas.'

Andaikan seorang lelaki ingin menempah pelacur. Kriteria pelacur yang dikehendaki oleh lelaki itu adalah seperti berikut;

1) Berkulit putih
2) Ramping

Pelacur yang berkulit putih belum tentu menjadi pilihan lelaki itu. Maka 'bapa ayam' juga mengalami situasi seumpama begini.

Maka Surah al-Baqarah ayat 168 adalah kritikal bagi sesebuah firma bagi menghadapi saingan dengan para pesaing. Hakikatnya, kesemua ayat al-Quran adalah kritikal bagi orang-orang yang beriman.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Friday, 7 January 2011

Kubur Nabi Muhammad

Di Masjid Nabawi dikatakan terletaknya kubur Nabi Muhammad. Namun, mereka yang ingin melihat kubur ini akhirnya menemui kegagalan. Lihat saja dua orang dalam gambar ini.

Gambar kubur Nabi Muhammad yang digembar-gemburkan selama ini pula menyerupai kubur Uthman Gazi dan Maulna Rumi.














Sila rujuk; http://www.muftisays.com/blog/abu+mohammed/410_21-09-2010/fake-tomb-of-the-rasul-of-allah.html

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Pakistan


Gejala pelampau Sunni kian membara di Pakistan. Seorang ahli politik Pakistan telah dibunuh oleh bodyguardnya kerana beliau telah mengemukakan pandangan menentang hukuman mati bagi kesalahan menghina Nabi Muhammad terhadap seorang penganut Kristian.

Pembunuhan itu kemudiannya diberikan pujian oleh ulama-ulama Sunni di negara itu.

Ketika awal penubuhan negara Pakistan pada tahun 1947, ia sebuah negara yang 'sederhana' yang mengamalkan toleransi fahaman. Kemudian sekitar 1980, Mohamad Zia ul-Haq muncul dengan membawa fahaman konservatif. Beliau kemudiannya mendapat bantuan berbilion dolar dari US bagi menentang Soviet di sempadan Afghanistan. Beliau juga mendapat bantuan berbilion dari Arab Saudi bagi mengembangkan ajaran Sunni di Pakistan.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Wednesday, 5 January 2011

Anak Bhg. II

Bukan susah untuk mendapat berita-berita jenayah seperti ragut, kecurian, pembunuhan haram, penzinaan dan sebagainya. Kes-kes ini berulang sentiasa, bagai berulangnya siang dan malam.

Membesarkan anak melibatkan kos yang begitu besar, manusia yang dewasa dijangka memahami tentang perkara ini. Pengorbanan masa, wang, peluang, dan sebagainya.

Kita boleh lihat pada hari ini, pelbagai watak manusia yang wujud. Watak mana yang kita mahu anak kita jadi? Najib? Siti Nurhaliza? al-Qaradawi? Ini dikenali sebagai harapan ibubapa.

Harapan ini boleh jadi ditanam oleh pasangan ketika bercinta sebelum nikah, atau ketika melangkah ke alam pernikahan, atau jua ketika anak masih dalam kandungan dan sebagainya. Apabila anak membesar dewasa, anak bukan lagi 'rebung buluh'.

Maka berbaloikah jika semua pengorbanan itu menghasilkan seorang pencuri tegar?

Satu perkara yang berbaloi adalah mengajar anak al-Quran, samada dari segi tajwid mahupun bahasa. Jika ajaran menjadikan anak saya seperti anggota Jemaah Islamiah di Indonesia, ia tidak berbaloi. Jika ajaran menjadikan anak saya seperti al-Qaradawi, ia juga tidak berbaloi. Jika ajaran menjadikan anak saya seperti Yusuf Islam, itu lebih baik. Surah ar-Rahman ayat 1 hingga 2;

Ar-Rahman. Dia mengajar al-Quran.

Kalimah 'Islam' adalah sinonim dengan kesejahteraan. Manakala kalimah 'Iman' pula sinonim dengan keamanan. Dalam ajaran Sunni, ada satu konsep yang sering disebut-sebut, iaitu 'kesederhanaan'. Konsep ini antaranya adalah bagi menghalang penganutnya daripada menjadi pelampau agama. Ketika kes lukisan kartun Nabi Muhammad pada tempoh lalu, bagaimana sebahagian penganut Sunni begitu beremosi sehingga membakar bangunan tanpa hak bagi menunjuk perasaan. Mereka sudah menjadi pelampau agama.

Dalam al-Quran, ada disebut tentang kesederhanaan antaranya;

1) Ton bacaan al-Quran dalam Solat
2) Makan dan minum

Untuk menghalang dari menjadi pelampau agama, al-Quran mengajar tentang kesyukuran, kesabaran, kefahaman, menggunakan akal, memaafkan, merendah hati, berprasangka baik dan sebagainya.

Maka pengajian al-Quran adalah begitu kritikal kepada si kecil. Dan pengajian al-Quran seharusnya bersifat berterusan. Bukan sekadar terhenti setelah tamat belajar di sekolah agama, atau setelah mendapat segulung ijazah Pengajian Syariah, atau setelah bergelar Mufti. Mari kita perhatikan riwayat hadis berikut;

Sebaik-baik dari kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. (Riwayat Bukhari)

Sekian dahulu coretan.

Wallahualam.

Monday, 27 December 2010

Kisah Syiah




Satu kisah yang ringkas bagi pengenalan kepada mazhab Syiah. Daripada isu pelantikan khalifah, mazhab Syiah mengalami revolusi selama ratusan tahun sehingga ke hari ini. Pemuda ini dikatakan bermazhab Jaa'fariyyah, dimana Imam Jaa'far dikatakan guru kepada Imam Shafie.

Pemuda ini membacakan beberapa ayat al-Quran yang mempunyai perkataan 'Syiah'. Ya, seperti yang saya coret sebelum ini, tiada kalimah 'Sunnah Waljamaah' dalam al-Quran.

Pemuda ini juga dikatakan menolak fahaman 'mencederakan diri' dan fahaman menghalalkan darah penganut Sunni.

Tujuan saya meletakkan video ini adalah bagi membuka minda pembaca agar melihat isu 'Islam' dari skop yang lebih luas.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Sunday, 26 December 2010

Syiah, Amalan Berkhatan dan Darah Halal

Faktor berikut antara mengapa JAKIM menfatwakan Syiah sebagai sesat;

1) Mencederakan diri semasa upacara di hari asy-Syura
2) Menghalalkan darah penganut Sunni

Bagi no 1), ajaran Sunni juga mengajar mencederakan diri, iaitu amalan berkhatan. Saya pernah menonton televisyen di mana penduduk miskin meminta bantuan kerana kekurangan wang untuk menampung kos berkhatan si anak. 

Kenapa mereka mahu mengkhatankan si anak? Kerana dalam mazhab Shafie, sembahyang dikatakan tidak sah jika tidak berkhatan. Dan apabila sembahyang tidak sah, maka bagaimana untuk masuk Syurga kerana sembahyang itu wajib?

Ini antara faktor utama mengapa anak-anak dikhatankan di Malaysia. Si penjaga mengambil keputusan berdasarkan fahaman agama yang dibawa oleh masyarakat setempat. Jika ditanya, anak mana yang suka berkhatan?

Apakah rakyat Malaysia masih obses dengan mazhab Shafie? Saya pernah terbaca suratkhabar suatu ketika dahulu, di mana pemilik kereta yang meletakkan pelekat ayat al-Quran di cermin belakang kereta ditegur oleh ustaz, hanya kerana Imam Shafie dikatakan tidak suka meletakkan al-Quran di bahagian belakang.

Ada juga yang tidak menukar mazhab ketika bertawaf di Mekah kerana setianya dengan mazhab Shafie. Gelagat ini dikatakan sukar, kerana dalam mazhab Shafie, persentuhan kulit antara berlainan jantina dikatakan membatalkan wuduk.

Wajarkah pegawai jabatan agama membiarkan penduduk miskin meminta bantuan kewangan untuk mengkhatankan si anak, padahal, dalam mazhab Sunni, ada penyelesaian mudah untuk kes ini? Dalam mazhab Maliki, sembahyang dikatakan sah walaupun tidak berkhatan. Ini bermakna, penduduk miskin tidak perlu bersusah payah mencari wang untuk menampung kos berkhatan, atau si anak tidak perlu bersusah payah menanggung kesakitan. Ini rasional kerana pendapatan mereka tidak setinggi gaji Mufti, atau gaji pegawai jabatan agama negeri.


Menurutnya, memikirkan kos berkhatan yang mencecah ratusan ringgit memaksanya untuk mendahulukan pendapatan bulanan yang diterima untuk urusan yang lebih penting berbanding membawa anaknya berkhatan.  

"Hampir setiap tahun saya berhasrat mahu membawa dua anak lelaki saya yang kini berusia 11 tahun dan 13 tahun untuk berkhatan, namun akibat kekurangan duit hasrat itu terpaksa dibatalkan.  

"Cuma, sejak akhir-akhir ini saya mula memikirkan yang anak saya sudah semakin dewasa dan jika ditangguhkan lagi pasti semakin susah. Jadi, saya cuba juga usahakan untuk mereka dikhatankan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permai 2.

Bagi no 2), ajaran Sunni juga menghalalkan darah mereka yang terkeluar dari 'jemaah'. Adakah saya tidak terkeluar dari jemaah? Adakah darah saya masih haram dalam ajaran Sunni?

Dikala mereka menganggap ajaran Syiah kejam kerana menghalalkan darah penganut Sunni, maka adakah ajaran Sunni dalam kes ini cukup penyayang?

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Thursday, 23 December 2010

Nabi Muhammad, Perkauman dan Najib Bhg. II

Jika Najib yang membuat kenyataan itu, ia bukan sesuatu yang menjanggalkan kerana beliau adalah ketua bagi sebuah parti politik berasaskan kaum.

Pelantikan khalifah bukan berasaskan kaum tertentu. Malah, Nabi Muhammad bukan seorang Raja yang mengamalkan pemerintahan monarki.

Konsep musyawarah adalah antara pendekatan utama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, atau dari perspektif mazhab Sunni, ia adalah salah satu daripada 'Sunnah Nabi'.

Pelantikan khalifah berdasarkan 'khabar angin' wasiat dari Nabi Muhammad adalah tidak Islamik. Sesiapa saja mampu mereka-reka riwayat kononnya baginda mahukan orang ini dan orang ini demi kepentingan politik, seterusnya mencetuskan kekacauan dan perpecahan.

Pelantikan khalifah berjalan lancar pada mulanya dengan berasaskan konsep musyawarah, kemudian datangnya wabak 'imam' mula menggantikan konsep khalifah.

Wabak 'imam' ini bukan saja dipelopori oleh puak Sunni, malah juga oleh puak Syiah. Maka golongan manakah pada mulanya yang cuba memansuhkan konsep khalifah?

Saya bukan menyalahkan perkataan 'imam', tetapi saya menghighlightkan bagaimana era 'khalifah' berganti dengan era 'imam'.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Tuesday, 21 December 2010

Nabi Muhammad, Perkauman dan Najib

Pelantikan khalifah adalah melalui musyawarah. Riwayat hadis palsu berikut menggambarkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang racist.

Selepas aku adalah 12 imam/khalifah dari Quraish. (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Bukhari dan Muslim)

Ajaran Sunni dan Syiah mempunyai pendapat masing-masing berkenaan siapakah 12 ketua tersebut.

Ajaran Sunni;

1) Abu Bakar as-Siddiq
2) Umar al-Khattab
3) Uthman Ibn Affan
4) Ali ibn Abi Thalib
5) Hasan ibn Ali
6) Muawiyah ibn Abi Sufyan
7) Yazid Ibn Muawiyah
8) Abdullah Ibn Zubair
9) Abdul Malik Ibn Marwan
10) Waleed Ibn Abdul Maalik
11) Sulayman Ibn Abdul Maalik
12) Umar Ibn Abdul Aziz

Ajaran Syiah;

1) Ali Bin Abi Thalib
2) Hasan ibn Ali
3) Husien ibn Ali
4) Ali Zaynul Abidin
5) Muhammad al-Baqir
6) Jaafar as-Sadiq
7) Musa al-Kadhim
8) Ali ar-Ridha
9) Muhammad Al-Jawad
10) Ali al-Naqi
11) Hasan al- Askari
12) Muhammad al-Mahdi (Imam Mahdi)

Bayangkan jika Najib berkata;

"12 Perdana Menteri Malaysia selepas aku adalah dari kaum Melayu."

Maka 'berputih mata'lah kaum lain untuk menjadi Perdana Menteri? Terpaksa menunggu seratus tahun lagi?

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Saturday, 18 December 2010

Pekomen Bhg. XV


kat blog ko ni jelas betul kau yg menyimpang dari Quran. hal basic pun engkau salah. banyak pula itu. baik kau jawab semua yang ade dalam blog ko sendiri, daripada pilih komen yg biase je. jawabla, kan kau kate kau ikut Quran. tp lagi jelas menyimpang la kau nie. macam xpandai langsung pasal Quran. jawab la hujah budak yang komen byk2 2.

-jangan kau tetibe nk komen reply aku nie plak- xgune, nmpak kau ni cam bodoh je. hal besar xnk jwab tp hal kecik pulak kau sebok. hahaha
dunia2... ade jugak orang pesen macam nie kt malaysia.

tp apa mau buat, kau dah terlampau ujub dan perasan. kasihan........ suka hati la.

baik kau g bace Quran betul2

Quran.com

assalamualaikum

Waalaikumussalam.

Saya cabar kamu beberapa perkara jika kamu berada di pihak yang benar;

1) Tunjukkan saya ayat al-Quran yang kaitkan perkataan 'Sunnah' dengan perkataan 'Nabi'/'Rasul'.

2) Antara hujah puak Syiah adalah, dalam al-Quran ada perkataan 'Syiah', tetapi dalam al-Quran tiada kalimah 'Sunnah Waljamaah'. Apa hujah kamu untuk menjawab hujah puak Syiah ini?

3) Tunjukkan saya kalimah Shahadah dalam al-Quran yang menggabungkan kalimah 'Allah' dengan kalimah 'Muhammad' sebagaimana yang terdapat dalam ajaran Sunni.

4) Saya cabar kamu berdialog/debat secara face to face, terbuka dan rasmi. Kamu boleh menjemput mana-mana ustaz pilihan kamu. Atau kamu sekadar bersifat anonymous dan 'melontar batu sembunyi tangan'?

Jika mazhab Sunni benar-benar diturunkan dari Allah, maka sila jawab dengan terang tiga soalan pertama di atas.

Wallahualam.

Friday, 17 December 2010

Pekomen Bhg. XIV

Mereply komen dari pekomen di https://www.blogger.com/comment.g?blogID=1323782569523397951&postID=6283501342723042059

kau lagi byk menyimpang kot. sedarlah ckit. kecoh.. tau cari salah orang je padahal diri sendiri teruk. 
menjawab la kau dengan Allah nnt. budak perasan

Jika dari segi teori pun bercanggah dengan konsep al-Quran, maka dimanakah Islamnya untuk dipraktiskan? Lebih baik sujud sekali sehari, tetapi sujud pada Allah, berbanding sujud 1000 kali sehari, tapi pada Tuhan yang lain.

Wallahualam.

Thursday, 16 December 2010

Nikah Paksa

Berikut berita tentang pernikahan antara seorang guru dengan remaja perempuan berumur 14 tahun, sila rujuk; http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Namun fokus dalam coretan ini bukan berkenaan pernikahan itu, tetapi bagaimana artikel itu menerangkan dalam mazhab Shafie, si bapa dihalalkan menikahpaksa si anak perempuan semuda berumur 6 tahun.

Kenapa mazhab Shafie? Kenapa bukan mazhab Maliki? Adakah ini bermakna Nabi Muhammad bermazhab Shafie kerana baginda pernah bernikahpaksa dengan seorang perempuan semuda berumur 6 tahun?

Pertamanya, riwayat hadis pernikahan baginda dengan Aisyah kononnya ketika Aisyah berumur 6 tahun ketika itu, adalah riwayat hadis palsu.

Kemudian mereka menjadikan ia sebagai dalil untuk menghalalkan nikah paksa?

Ada dua isu dalam kes ini iaitu;

1) Nikah bawah umur

Saya pernah mencoret tentang isu ini, sila rujuk; http://ariji86.blogspot.com/2010/02/nabi-muhammad-dan-aisyah.html

2) Nikah Paksa

Antara kunci bagi kes ini adalah Surah an-Nur ayat 33, di mana, terjemahan versi mazhab Sunni antaranya menterjemahkan 'fataya' sebagai 'hamba'. Sebagai contoh, terjemahan Surah an-Nur ayat 33 dari http://www.alquran-melayu.com/24-an-nur/ seperti berikut;

Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah – sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka – Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Terjemahan ini kurang tepat. Terjemahan yang lebih tepat adalah seperti berikut, petikan Surah an-Nur ayat 33;

...Dan janganlah memaksa perempuan muda kamu kepada kemahuan jika mereka ingin menjadi bebas...

Ayat ini menerangkan bahawa konsep nikah paksa dari mazhab Shafie bercanggah dengan al-Quran.

Sekian dulu coretan.

Wallahulam.