Friday, 5 December 2014

Cita-Cita

Cita-cita pertama saya adalah menjadi cikgu. Ketika itu saya berada di darjah empat, cikgu menyoal cita-cita saya.

Tahun berikutnya, saya membaca sebuah buku biru bertajuk "Rahsia Usahawan Berjaya", maka lahir cita-cita kedua saya, iaitu menjadi usahawan.

Apabila saya berumur dalam 16 tahun, saya mendapat banyak inspirasi dalam penggubahan lagu. Gejala ini kurang menyenangkan saya, kerana inspirasi perlu diekpresikan, Ini membawa saya kepada pembelajaran muzik.

"Jika awak betul-batul mahu belajar muzik, datang esok ke temuduga", kata seorang lelaki di telefon bimbit. Saya telah mendapat first choice dalam borang UPU yang telah saya isi. Ketika itu saya berada di Tangkak. Kemudian petang itu saya ke stesen bas mahu ke Kuala Lumpur. Tiket habis. Kemudian saya menemui drebar bas menyatakan saya perlu ke Kuala Lumpur. Kebetulan ada seorang penumpang yang tidak hadir, maka bolehlah saya duduk di kerusi yang empuk.

Dari Kuala Lumpur saya ke Shah Alam. Malam itu saya tidur di bilik rakan saya yang sedang belajar di INTEC. INTEC dan fakulti muzik berkongsi kampus yang sama pada sesi kemasukan kali itu.

"Tiada temuduga kursus komposisi muzik di sini. Yang ada adalah pendidikan muzik". Rupanya temuduga di Puncak Perdana. Saya terlewat ke temuduga pagi itu. Namun masih ada tiga individu, Pak Yus, Encik Shukor dan Encik Khairil Johari sedang menunggu.

Saya menyanyikan bahagian chorus karya "She Loves Me Not" ketika itu. Ya, itu karya gubahan saya.

Ya, cita-cita saya yang ketiga adalah menjadi seorang komposer. Namun saya mendapati perkataan "komposisi" itu lebih luas, maka saya perkecilkan skop kepada "penulisan lagu". Genrenya pula saya perkecilkan kepada pop, balad, dan soft rock.

Apabila saya mendengar gubahan-gubahan yang hebat, semangat komposisi saya tersuntik. Saya kira, saya dan songwriting, sukar untuk berpisah. Mungkin ia akan menemani saya lebih setia dari wanita yang pernah saya cintai suatu ketika dulu.

Saya memikirkan apakah ada lagi cita-cita lain. Ah, yang ada ini pun terumbang-ambing untuk dijayakan. Lagi banyak cita-cita, lagi banyak kerja.

Arwah abah adalah bekas guru. Barangkali darah gurunya mengalir dalam diri ini. Melihat suasana dunia ini, ia mengerikan. Jika saya ada anak, apakah sempat saya untuk ajarkan dia pertahankan diri.

Wallahualam.

No comments: