Monday, 15 July 2013

Faezah

"Lupakan saya sampai mati".

Ini ayat yang diucap oleh Faezah melalui telefon pada petang itu. Ketika itu saya belum menangis lagi. Gadis yang saya jatuh hati berkata begitu. Ia menyedihkan, tapi belum mampu menitiskan air mata.

Pelajar mula bersiap untuk menunaikan sembahyang terawikh. Saya di dalam bilik mandi itu akhirnya menitiskan air mata. Ya, ia menyedihkan!

Saya gagahkan juga untuk sembahyang terawikh. Masjid hanyalah sebelah jalan saja. Namun ketika di posisi duduk acara bacaan attahiyat, saya kurang dapat mengawal tangisan lagi dari menjadi semakin zahir bagi para makmum. Saya bergerak keluar dari masjid sebelum kantoi major oleh para makmum.

Ternyata ia menyedihkan. Kalau tidak masakan saya menangis. Ketika itu saya sedang dalam penggubahan sebuah lagu, akhirnya pembikinannya terbantut. Masakan tidak, emosi saya sudah tidak girang lagi. Lagu itu dinamakan sebagai "She Loves Me Not" gara-gara peristiwa ini, berikutan hubungan yang tidak menjadi. Mungkin tajuk itu bukan tajuk yang terbaik bagi karya itu.

Namun saya kagum dengan Faezah. Dia aktif dalam tarian zapin sehingga menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan antara kolej bersekutu, tapi pointer dia boleh tahan. Saya juga aktif. Mungkin lebih aktif dari dia dalam ko-kurikulum.

Jika dilihat dari satu sudut, ia umpama cerita lawak. Seorang lelaki penakut ada hati dengan seorang puteri. Malah teknik mengoratnya mungkin entah apa-apa. Akhirnya tersandar di tiang terduduk termenung mengenangkan nasib. Kemudian lalu rakan-rakan si puteri dari jauh melihat sepintas. Mereka bergelak ketawa dengan celoteh mereka. Saya tidak fikir ketawa itu adalah kepada saya.

Dalam setahun kemudian atau lebih, atau kurang, secara kebetulan rakan saya menyertai pertandingan zapin peringkat institusi pengajian tinggi di Johor dan saya sedang bercuti di Johor ketika itu. Lalu saya pergi menonton selepas diajak rakan yang lain. Ternyata Faezah juga bertanding. Selepas majlis berakhir, saya pergi kepada mereka sebagai orang yang tidak dikenali. Masakan saya yang diminta untuk lupakannya selama-lamanya untuk menegurnya. Saya tidak cukup kuat untuk menegurnya. Dia memandang saya seperti saya orang yang tidak dikenali. Aduh, kami memang tidak ke jinjang pelamin.

Itulah kali terakhir saya melihat Faezah secara bersemuka. Kami sudah lost contact. Mungkin dia sudah bernikah dan mempunyai beberapa orang anak. Namun seperti yang saya katakan;

"'Gadis saya hidup di dalam lagu".

Wallahualam.

No comments: