Monday, 25 April 2011

Mentor Mentee

Ucapan Timbalan Ketua Program
Perasmian Program Mentor Mentee
Pada 25 April 2011, Di Dewan Teater KTB,
Setiu, Terengganu.

Para mentor yang dilantik bukan berdasarkan undian, tetapi adalah berdasarkan kelayakan mereka iaitu  mendapat pointer tertentu. Dalam Surah al-Baqarah ayat 247; menerangkan Bani Israel membantah pelantikan Talut sebagai komander dengan alasan mereka lebih layak berbanding Talut. Maka jawab Nabi; Allah telah memilihnya berbanding kamu dan meningkatkan kebolehannya dalam ilmu dan fizikal.


قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ


Pengajaran dari kisah ini adalah, apabila kita melantik seseorang, kita hendaklah melantik yang berkebolehan dengan tugasannya. Alhamdulillah, walaupun saya yang berucap pada petang ini, tetapi, mastermind bagi program mentor mentee ini sebenarnya adalah rakan saya, iaitu saudari Rabiatul Adawiyah binti Ahmad, selaku Exco Akademik dan Kerjaya nombor dua.


‘Mentor Mentee’ nama diberi. Nama bagi program ini sendiri, adalah melambangkan kebijaksanaan. Petikan Surah Az-Zukhruf ayat 32;


... Dan Kami meninggikan sebahagian daripada mereka di atas yang lain dalam kedudukan, agar mereka berkhidmat antara satu sama lain...


وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا 


Dalam program Mentor Mentee ini, kedudukan Mentor adalah lebih tinggi dari Mentee. Ini adalah kebijaksanaan. Dalam sesuatu organisasi, tidak kira samada sebesar syarikat korporat, atau sekecil program Mentor Mentee ini, perlunya ada dua kedudukan asas, iaitu yang tinggi dan yang lebih rendah. Tujuan pembahagian kedudukan ini adalah bagi melicinkan proses kerjasama.


Misi dalam program Mentor Mentee ini adalah untuk membantu Mentee dalam permasalahan pembelajaran.


Kita tahu ada pelajar yang perlu dibantu, secara individu atau face two face. Kalau kita tengok dalam dunia bisnes, ia umpama teknik jualan langsung, di mana, penjual bersemuka secara langsung dengan pelanggan, menunjukkan demonstrasi produk, dan sebagainya. Ini adalah kaedah alternatif bagi membantu pelajar selain daripada program motivasi dan sebagainya. Malah, Mentor itu sendiri, boleh menjadi pemotivasi kepada Mentee.


Dalam permasalahan pembelajaran tidak hanya melibatkan buku, nota dan sebagainya. Tetapi juga melibatkan perkara lain seperti masalah kewangan. Mentor boleh membantu Mentee dalam permasalahan kewangan dengan memaklumkan kepada kami, insyaallah, kami akan cuba membantu.


Kita ada dua Exco Kebajikan di sini, Saudara Muhamad bin Jaafar dan saudari Nor Azira binti Mat Lati yang ditugaskan untuk membantu para pelajar dari segi kewangan, insyaallah.


Antara nilai-nilai murni yang diharap dapat disematkan dalam program ini adalah;


1) Berkenalan


Jika sebelum ini, Mentor dan Mentee kurang mengenali antara satu sama lain, dengan program ini, diharap mereka akan lebih saling mengenali. Sebagaimana petikan Surah al-Hujurat ayat 13;


Wahai manusia, Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu kepada bangsa dan puak, supaya kamu boleh mengenal antara satu sama lain.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا 


Nilai murni yang lain pula adalah;


2) Bekerjasama ke arah kebaikan


Apabila Mentor membantu pelajar-pelajar lain yang lemah dalam subjek pelajaran tertentu maka ia satu adalah amalan baik. Dengan adanya program Mentor Mentee ini, diharap dapat memupuk para pelajar dalam mengerjakan amalan baik. Sebagaimana dalam petikan Surah al-Maidah ayat 2;


Bekerjasamalah dalam amalan baik dan ketaqwaan, dan janganlah bekerjasama dalam dosa dan kebencian.


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ


Sekian dahulu ucapan dari saya. Salamun alaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Friday, 22 April 2011

Aqli dan Naqli

Ada masanya otak saya kepenatan memikirkan dunia Islam. Mungkin sebahagian ketua-ketua agama Sunni patut berbangga dengan kewujudan Taliban di Afghanistan. Ada seorang rakan Internet pernah berkata seumpama berikut suatu ketika dahulu apabila kami berbincang tentang Taliban;

"Apa salahnya Taliban? Mereka memperjuangkan Sunnah Nabi."

Saya mahu berehat. Sekarang saya mahu kembali fokus kepada al-Quran. Saya sememangnya tahu tiada paksaan dalam Deen. Pejuang anti-terjemahan Bible dalam bahasa Melayu yang membuat demontrasi di hadapan masjid pernah dikatakan hipokrit kerana menolak kebebasan beragama. Sudah tentu bukan saya yang membuat demontrasi tersebut.



Sebahagian pendapat-pendapat saya bukannya tidak mendapat tempat dalam mazhab Sunni, tetapi ia diletakkan dalam kategori 'dalil aqli'. Lazimnya, dalam mazhab Sunni, 'dalil aqli' ditolak, melainkan tidak bercanggah dengan 'dalil naqli'.

Mari kita lihat susunan dalam 'dalil naqli';

1) Al-Quran
2) Hadis
3) Ijmak
4) Qias

Alhamdulillah. Al-Quran diletakkan pada no. 1). Namun, apabila al-Quran menyatakan tiada paksaan dalam Deen, mereka menjatuhkan hukuman bunuh pula kepada mereka yang terkeluar dari jemaah. Mari kita perhatikan riwayat hadis berikut;

Daripada Abdullah Bin Masud r.a dia berkata , Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda : Tidaklah halal darah seseorang muslim yang menjadi saksi bahawa tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku ini adalah utusan Allah melainkan dengan melakukan salah-satu daripada tiga jenis kesalahan ini, iaitu; orang-orang yang telah berkahwin yang melakukan zina, orang yang membunuh orang lain, dan orang yang meninggalkan agamanya iaitu orang yang meninggalkan jemaahnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bayangkan jika ideologi "hukuman bunuh bagi kesalahan terkeluar dari jemaah" ini diaplikasikan di Malaysia, dengan kepelbagaian versi jemaah yang wujud di Malaysia ini, ideologi ini mampu menyebabkan keadaan Malaysia menjadi huru-hara seperti di beberapa kawasan di Indonesia. Maka tidak hairan jika Najib berani mengkritik al-Qaradawi secara terbuka walaupun latarbelakang pendidikan agama antara mereka berdua bagai rumput dengan pokok getah.



Hujah di atas menunjukkan dalil aqli ada masanya lebih dekat dengan Islam berbanding dalil naqli. Ini disebabkan faktor kebocoran dalam dalil naqli, apabila ada masanya al-Quran dihalang daripada menjadi kriteria bagi menghakimi kitab-kitab lain.

Saya berdoa kepada Allah agar memberi kekuatan untuk fokus kepada al-Quran.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Friday, 15 April 2011

Selawat

Berdialog atau berdiskusi atau bermusyawarah dengan bekas rakan sekolah menengah dan beberapa penganut Sunni di Facebook tadi memberi saya ilham untuk mencoret tentang isu selawat.

Berikut kesimpulan yang saya buat hasil dari dialog itu;

"Berselawat" dengan "memohon Allah berselawat" adalah dua perkara berbeza. Bagaimana Surah al-Ahzab ayat 56 adalah mutasyaabihaat, apabila gagal difahami, kemudian individu mencipta riwayat palsu dan mengenakan logo sahih. Apabila pelanggan pergi ke pasaraya dan melihat logo halal pada bungkusan makanan, kemudian dia berkata "makanan ini halal." Bukan kerana makanan itu halal, tetapi kerana terdapat logo halal.

Mari kita perhatikan dialog berikut;

Anwar: Berselawatlah atas Nabi Muhammad.
Najib: Baiklah. Ya Allah, selawatlah atas Nabi Muhammad.
Anwar: ...

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Friday, 8 April 2011

Sedar dan Teliti

Surah al-Baqarah ayat 9;

Mereka cuba-menipu Allah dan yang beriman dan mereka tidak menipu melainkan kesedaran mereka dan mereka tidak meneliti.

Sila rujuk; http://www.quranwiki.net/index.php?title=Malay_Quran_translation_by_Ariji

Ayat ini membezakan antara kalimah 'sedar' dan 'teliti'. Mari kita perhatikan dialog berikut;

Najib: Merokok merbahayakan kesihatan.
Anwar: Ya, saya tahu.
Najib: Berhentilah merokok.
Anwar: ...
Najib: Awak sedar tak merokok itu tidak baik?
Anwar: Ya, saya sedar.
Najib: Habis tu, kenapa awak tidak berhenti merokok?
Anwar: Saya cuba usahakan. Awak tak perlulah membebel. Saya bukan budak kecil.
Najib: Sedar apa kejadahnya begini? Ini maknanya awak tidak sedar.
Anwar: Boleh diam tak?

Kalimah 'anfusahum' dalam Surah al-Baqarah ayat 9 merujuk kepada keadaan yang tidak mati, tidak tidur, tidak pengsan dan sebagainya.

Manakala kalimah 'yash'urun' pula merujuk kepada 'kesedaran tahap yang lebih tinggi', iaitu meneliti.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.

Friday, 1 April 2011

Single dan Couple


Hidup single ini bagaikan sudah ada kekasih berupa manusia apabila melayan lagu ini. Apatah lagi lagu ini memberi warna nostalgia 80-an. Ketika itu adalah zaman kanak-kanak saya membesar di Jeli.

Kira-kira sebulan lagi maka tamatlah semester ini. Khabar angin mengatakan saya terpaksa bermastautin di Selangor selama 4 bulan bermula pada bulan September ini. Jika di institusi ini saya kurang meluangkan masa bersama Fatim, apatahlagi jika saya di tempat lain. Kami akan berpisah.

Berpisah sebagai dua orang sahabat. Bak lirik lagu 'Fatim' gubahan saya;

"Akan ku pergi jua, aku tinggalkan hadiah..."

Sebagaimana sebelum ini saya 'tinggalkan hadiah' gubahan lagu bagi beberapa perempuan lain. Kali ini sejarah akan berulang.

Cuma, sebelum ini, saya tidak mengorat perempuan setahap ini. Mungkin kerana angka umur kian bertambah, saya melakukan anjakan paradigma.

Saya rasa, saya sudah cukup syarat asas dalam mengorat Fatim, seperti berikut;

1) Menggubah pantun
2) Menggubah lagu
3) Keluar makan malam
4) Keluar jogging
5) Mengulangkaji pelajaran bersama
6) Melamar untuk couple
7) Lain-lain

Mungkin lelaki lain sudah melalui aktiviti mengorat ini di sekolah menengah lagi. Tapi di sekolah menengah saya dahulu tiada pelajar perempuan.

Apabila melanjutkan pelajaran di Johor, prinsip hidup saya ketika itu adalah single. Mirip dengan prinsip yang dipegang Fatim pada masa ini.

Kemudian, apabila melanjutkan pelajaran di Selangor, prinsip hidup saya masih lagi single.

Seseorang yang berpegang kepada prinsip single bukan bermakna dia tidak menyukai seseorang atau tidak cuba mencari partner. Cuma, lebih bersifat 'jual mahal' saja.

"Saya sukakan awak. Saya mahu berkenalan dan berkawan dengan awak. Tapi kita tidak lebih dari kawan."

Namun, saya sememangnya cerewet dalam memilih teman hidup. Mari kita perhatikan falsafah berikut;

'Jangan harapkan perempuan sebaik Fatimah, jika anda tidak sebaik Ali."

Ungkapan ini popular. Namun saya tidak peduli. Saya terus berharapkan perempuan sebaik Fatimah walaupun jika saya tidak sebaik Ali.

Sekian dulu coretan.

Wallahualam.